KMKK Perlu Bijak Tangani Kritikan Media Sosial, Utamakan Khidmat Kepada Rakyat
SIBU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu bijak mengurus kritikan serta maklum balas masyarakat di media sosial tanpa terjebak dalam perbalahan terbuka yang boleh menjejaskan peranan dan tanggungjawab mereka kepada rakyat, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-13.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, pemimpin masyarakat termasuk pemanca, penghulu dan ketua kampung tidak terkecuali daripada menerima pelbagai pandangan, komen serta kritikan orang ramai menerusi platform digital.
“Media sosial sangat berpengaruh. Sesuatu perkara yang tidak dijawab mungkin akan tersebar luas, tetapi perbalahan di media sosial juga sukar dihentikan jika kita terus melayan, terutamanya komen yang sengaja mahu mencetuskan provokasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penutupan Program Peningkatan Profesionalisme Institusi Kampung dan Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka Tahun 2026 di sebuah hotel, di Sibu, pada Jumaat.
Menurut beliau, pengaruh media sosial yang begitu besar menuntut pemimpin supaya lebih berhati-hati dalam memberikan respons, terutama terhadap komen berunsur provokasi yang boleh mencetuskan perbalahan berpanjangan.
Berkongsi pendekatannya dalam menghadapi kritikan di media sosial, Datuk Dr Annuar berkata, beliau sentiasa membaca komen orang ramai tanpa perlu menutup ruang interaksi atau membalas setiap komen yang diterima.
Menurut beliau, kritikan dan maklumat yang berasas serta benar perlu diterima sebagai maklum balas untuk mengenal pasti kelemahan dan memperbaiki mutu perkhidmatan kepada masyarakat.
Beliau turut mengingatkan pemimpin masyarakat supaya tidak bertindak mengikut emosi ketika berhadapan dengan sentimen di alam maya, sebaliknya mengutamakan perpaduan, persefahaman dan kepentingan masyarakat setempat.
Katanya, tanggungjawab sebagai pemimpin menuntut mereka sentiasa mendekati masyarakat, mendengar pandangan serta membantu menangani permasalahan rakyat dan bukannya mengasingkan diri daripada kritikan.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Sibu, Christopher Ranggau Unting serta Pegawai Daerah Sibu, Tsong Chow Choon.-EDISI UKAS