Masjid Baharu Kampung Semarang Hampir Siap, Bakal Tampung 400 Jemaah
PUSA: Penduduk Kampung Semarang dan kawasan sekitarnya bakal menikmati kemudahan masjid baharu bernilai RM3.5 juta yang kini hampir siap sepenuhnya dan dijangka mula digunakan pada Disember ini selepas memperoleh Sijil Perakuan Menduduki (OP).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, masjid baharu itu dibina bagi menggantikan masjid lama yang telah uzur dan terletak berhampiran Sungai Semarang.
“Apabila masjid ini mula digunakan kelak, kita berharap agar penduduk dapat bersama-sama menjaga kemudahan ini dengan baik supaya ia sentiasa berada dalam keadaan selamat, selesa dan terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pembukaan Masjid Baharu Kampung Semarang di Pusa, pada Jumaat.
Menurut beliau, pengeluaran OP amat penting bagi memastikan aspek keselamatan bangunan diberi keutamaan sebelum masjid dibuka untuk kegunaan penduduk.
Beliau turut menegaskan bahawa masjid bukan sekadar tempat menunaikan ibadah, malah berperanan sebagai pusat penyatuan ummah, pendidikan dan pembangunan sosial masyarakat Islam.
Sehubungan itu, beliau berharap jawatankuasa masjid bersama penduduk dapat merancang pelbagai aktiviti termasuk ceramah agama, program ilmu, sukan dan kegiatan kemasyarakatan bagi mengimarahkan masjid secara berterusan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, pembinaan masjid berkapasiti kira-kira 400 jemaah itu merupakan kemudahan yang telah lama dinantikan penduduk Kampung Semarang.
Menurut beliau, projek berkenaan mendapat peruntukan daripada Allahyarham Tok Nan dan berjaya direalisasikan hasil kerjasama semua pihak meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang proses pembinaannya.
Beliau turut menyifatkan masjid baharu itu sebagai kemudahan penting kepada masyarakat setempat, bukan sahaja untuk menunaikan solat, malah bagi melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.-EDISI UKAS