Lapan Usahawan B40 Mukah Terima RM40,000 Bantuan Peralatan Perniagaan
MUKAH: Seramai lapan usahawan daripada golongan B40 di Mukah menerima bantuan peralatan perniagaan berjumlah RM40,000 menerusi Program Sejahtera Komuniti MADANI (Sejati MADANI) @ Usahawan B40 bagi membantu meningkatkan produktiviti serta mengembangkan perniagaan masing-masing.
Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip berkata, bantuan berkenaan perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan penuh tanggungjawab supaya dapat menyokong perkembangan perniagaan penerima secara berterusan.
“Saya berharap agar semua penerima terus tabah menghadapi cabaran dalam mengusahakan perniagaan, sekali gus memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Penyerahan Peralatan Program Sejati MADANI @ Usahawan B40 di sini, pada Khamis.
Beliau turut menggalakkan penerima supaya terus tabah menghadapi cabaran dalam mengusahakan perniagaan serta menggunakan peluang yang disediakan kerajaan untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga.
Setiap penerima menerima bantuan bernilai RM5,000 dalam bentuk peralatan perniagaan yang disesuaikan dengan keperluan serta jenis perniagaan masing-masing.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Norfitri Amin berkata, program berkenaan merupakan peluasan inisiatif Sejati MADANI yang sebelum ini memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti.
Menurut beliau, bantuan yang disalurkan meliputi peralatan, perkakasan, kelengkapan atau aset berdasarkan keperluan dan jenis perniagaan penerima, namun tidak merangkumi pembelian stok makanan, bahan mentah serta pembayaran kos operasi lain.
Untuk rekod, penyerahan bantuan di Mukah merupakan pelaksanaan pertama Program Sejati MADANI @ Usahawan B40 di Sarawak bagi 2026.
Program tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama ICU JPM dengan pejabat daerah sebagai rakan strategik bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang layak.-EDISI UKAS