Pendidikan Akademik Perlu Seiring Pembangunan Infrastruktur
BAU: Pembangunan infrastruktur fizikal di daerah Bau perlu diseimbangkan dengan peningkatan kualiti pendidikan akademik dan pembangunan modal insan bagi memastikan kemajuan sosioekonomi daerah itu terus berkembang secara mampan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata, usaha melahirkan lebih ramai modal insan berpendidikan tinggi amat penting bagi memastikan masyarakat setempat mampu menyumbang kepada pembangunan daerah dan negeri.
Menurutnya, pendidikan berkualiti merupakan antara asas utama dalam meningkatkan taraf hidup rakyat, selain memastikan kemajuan pembangunan fizikal turut disokong oleh keupayaan sumber manusia yang berilmu dan berkemahiran.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tamat Pengajian Tingkatan Enam Tahun 2026 di Bidayuh Cultural Centre, Bau pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata pencapaian cemerlang pelajar dalam peperiksaan awam setiap tahun membuktikan tahap daya saing akademik di daerah Bau semakin meningkat.
Katanya, kejayaan tersebut merupakan hasil kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat, selain dedikasi guru serta komitmen pelajar dalam mencapai kecemerlangan pendidikan.
Beliau turut menggalakkan ibu bapa agar terus memberikan sokongan kepada anak-anak untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, selain menghargai komitmen warga pendidik SMK Bau dalam membentuk kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar.
Pada masa sama, Datuk Henry Harry Jinep menggesa para graduan memanfaatkan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak mulai 2026 bagi membuka peluang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri, tertakluk kepada syarat kelayakan dan program yang ditetapkan.
Beliau berharap para graduan dapat mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing dan seterusnya kembali menyumbang kepakaran serta kemahiran kepada pembangunan daerah Bau dan Sarawak.
Seramai 198 pelajar Pusat Tingkatan Enam SMK Bau berjaya menamatkan pengajian bagi sesi 2025/2026, manakala 84 daripada 193 pelajar menerima tawaran melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Turut hadir Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Dr. Les Met ,Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Perancangan Pejabat Pendidikan Daerah Bau Daniel Willy Ritang yang mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Bau, Pengetua SMK Bau Dewis Lidek serta Penolong Kanan Tingkatan Enam SMK Bau Veronica Jesny Jiliam.- EDISI UKAS