SMK Bandar Bintangor Terima Geran RM5,000, Enam Projektor LCD
BINTANGOR: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintangor bakal menerima geran RM5,000, enam unit projektor LCD serta projek menaik taraf Dewan Arena sekolah itu menjadi dewan tertutup pada 2027 bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan warga sekolah.
Penyaluran bantuan dan pelaksanaan projek berkenaan diumumkan sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan 2026 SMK Bandar Bintangor yang berlangsung di Dewan Seri Wawasan sekolah itu, pada Jumaat.
Inisiatif tersebut mencerminkan sokongan berterusan terhadap pembangunan pendidikan, khususnya dalam menyediakan kemudahan pembelajaran dan infrastruktur yang lebih kondusif kepada pelajar serta warga sekolah.
Majlis anugerah berkenaan turut menjadi platform untuk mengiktiraf pencapaian pelajar dalam pelbagai bidang, termasuk akademik, kokurikulum, kepimpinan dan pembentukan sahsiah.
Kecemerlangan pelajar bukan sahaja diukur melalui keputusan peperiksaan, malah turut merangkumi aspek disiplin, nilai murni, kreativiti serta keupayaan mengembangkan potensi diri.
Seiring perkembangan teknologi pendidikan, pelajar turut digalakkan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) sebagai alat bantu pembelajaran secara bijak dan bertanggungjawab tanpa mengabaikan pemikiran kritis serta usaha sendiri.
Kerjasama erat antara pihak sekolah, guru, ibu bapa dan PIBG juga penting dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif bagi menyokong perkembangan serta kejayaan pelajar.-EDISI UKAS