Norzalia Ali Johan Karaoke Kategori Sensasi Jom Berami Sebuyau 2026
SEBUYAU: Norzalia Ali dari Kampung Bungin, Spaoh muncul juara Pertandingan Karaoke Kategori Sensasi sempena Jom Berami Sebuyau 2026 yang berlangsung di Dewan Pembangunan Sebuyau pada Khamis.
Kejayaan itu membolehkan Norzalia membawa pulang piala dan wang tunai RM300, manakala tempat kedua dimenangi Sulaiman Brahim yang menerima piala serta wang tunai RM200.
Tempat ketiga pula disandang Mohd Harfi dengan membawa pulang piala dan wang tunai RM150, sementara Santi dan Hafizi masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima dengan menerima piala serta wang tunai RM70.
Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan wakil Pegawai Daerah Sebuyau, Louis Andria Barieng.
Pertandingan yang berlangsung pada malam pembukaan program itu menampilkan bakat nyanyian tempatan dalam suasana penuh meriah, selain mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta dan pengunjung.
Penganjuran pertandingan berkenaan bukan sahaja menjadi platform mengetengahkan bakat seni masyarakat setempat, malah turut menyemarakkan Jom Berami Sebuyau 2026 serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti.
Kemeraian malam pembukaan turut diserikan dengan pelbagai gerai jualan termasuk penyertaan Depo Sebuyau yang menawarkan aneka pilihan makanan kepada pengunjung.
Program anjuran Jawatankuasa Induk Jom Berami Sebuyau itu menerima kehadiran kira-kira 200 pengunjung.
Turut hadir Pegawai Tadbir Tahir Putih serta ahli jawatankuasa pertandingan.- EDISI UKAS