Pendidikan Awal KEMAS Bentuk Generasi Berilmu dan Berakhlak
DEBAK: Pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan penting dalam membentuk generasi berilmu, berkeyakinan dan berakhlak mulia sebagai asas kepada pembangunan sahsiah serta masa depan anak-anak.
Timbalan Menteri Pembangunan, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, pendidikan awal bukan sahaja memberi pengetahuan asas seperti mengenal huruf, nombor dan membaca, malah membentuk keperibadian serta keyakinan diri kanak-kanak.
Menurut beliau, usaha membangunkan potensi anak-anak memerlukan kerjasama erat antara pendidik dan ibu bapa bagi memastikan perkembangan mereka berjalan dengan baik.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Kanak-Kanak TASKA dan TABIKA KEMAS 2026 di Dataran Perpaduan Debak, pada Jumaat.
Katanya, majlis apresiasi itu bukan sekadar acara penyampaian sijil dan anugerah, sebaliknya menjadi pengiktirafan terhadap usaha, perkembangan serta pencapaian kanak-kanak sepanjang mengikuti pendidikan awal.
Beliau turut menegaskan setiap kanak-kanak mempunyai keistimewaan, kebolehan dan potensi tersendiri dalam pelbagai bidang termasuk akademik, kreativiti, komunikasi serta pembentukan sahsiah.
Sehubungan itu, setiap pencapaian wajar diraikan kerana kejayaan kecil pada hari ini merupakan langkah awal ke arah kejayaan lebih besar pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau turut meraikan anak-anak TASKA yang bakal melangkah ke TABIKA serta kanak-kanak TABIKA yang akan memasuki Tahun Satu, sambil berharap mereka terus rajin belajar, menghormati guru dan ibu bapa serta berani mencuba perkara baharu.
Penghargaan turut diberikan kepada penerima Anugerah Kanak-Kanak Terbaik Tahfiz sebagai pengiktirafan terhadap kesungguhan mereka mempelajari dan menghayati ilmu, selain memupuk disiplin serta nilai-nilai murni sejak usia muda.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pendidik TASKA dan TABIKA KEMAS atas komitmen dalam mendidik serta membentuk asas kehidupan kanak-kanak.
Majlis anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Betong itu dihadiri Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Pegawai KEMAS Bahagian Betong Jeffery Lana, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Debak Mohammad Khairurani Mohammad Ibrahim serta Ketua Polis Daerah Betong Wan Mohamad Ali Wan Malek.-EDISI UKAS