AirBorneo Sasar Bangkok, Seoul & Pulau Jeju Dalam Pengembangan Laluan Antarabangsa
KUCHING: AirBorneo menyasarkan untuk memulakan penerbangan terus ke Bangkok seawal suku pertama 2027, selain mempertimbangkan Seoul dan Pulau Jeju di Korea Selatan sebagai destinasi seterusnya dalam usaha memperluas rangkaian penerbangan antarabangsanya.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata, perancangan membuka laluan ke Bangkok kini dalam penelitian, termasuk perbincangan bagi mendapatkan hak pendaratan di ibu negara Thailand itu.
Menurut beliau, laluan berkenaan berpotensi memperkukuh hubungan udara Sarawak dengan pasaran Asia Tenggara, sekali gus membuka peluang baharu kepada sektor pelancongan dan perniagaan.
“Buat masa sekarang, saya masih belum dapat mengumumkan tetapi apabila tiba masanya kelak, sudah tentu kita akan mempertimbangkan Bangkok.
“Sebenarnya, mereka (AirBorneo) telah mengadakan perbincangan untuk mendapatkan kebenaran mendarat di Bangkok dan saya rasa mungkin pada suku pertama tahun depan dalam bulan April,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Penerbangan Sulung Kuching-Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Jumaat.
Selain Bangkok, beliau berkata, Seoul dan Pulau Jeju turut dikenal pasti sebagai destinasi berpotensi dalam perancangan pengembangan rangkaian penerbangan AirBorneo ke Korea Selatan.
Menurutnya, Seoul berkemungkinan menjadi destinasi utama, manakala Pulau Jeju turut diberi perhatian berdasarkan keunikan tarikan pelancongannya serta pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark.
“Selain Seoul, destinasi kedua ialah Pulau Jeju yang turut diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark,” katanya.
Premier Sarawak turut melihat potensi hubungan pelancongan dan pertukaran budaya antara Sarawak dengan Korea Selatan, khususnya menerusi populariti industri hiburan Korea yang boleh dimanfaatkan untuk memperkenalkan seni persembahan serta warisan budaya tempatan kepada pelawat antarabangsa.
Pengembangan laluan antarabangsa itu dijangka memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab penerbangan serantau, di samping merancakkan pertumbuhan sektor pelancongan, hospitaliti dan industri kreatif negeri ini.
Terdahulu, AirBorneo melancarkan penerbangan terus Kuching-Jakarta, menjadikannya laluan jet pertama syarikat penerbangan itu ke Indonesia dan laluan jet ketiga sejak Julai 2026.-EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Ibanez Jeffery Guang & George Embie