AirBorneo Rancang Tambah Lima Pesawat, Perluas Laluan Antarabangsa
KUCHING: AirBorneo merancang meningkatkan jumlah pesawatnya daripada dua kepada lima pesawat bagi memperkukuh kapasiti operasi serta memperluas rangkaian penerbangan ke destinasi antarabangsa baharu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata, pertambahan armada itu akan membolehkan syarikat penerbangan milik Sarawak berkenaan meneroka pasaran baharu yang berpotensi merancakkan sektor pelancongan, khususnya pelancongan kesihatan.
“Apabila jumlah pesawat kita meningkat kepada sekurang-kurangnya lima buah, berbanding dua buah ketika ini, AirBorneo akan dapat memperluas penerbangan ke destinasi lain yang berpotensi dalam sektor pelancongan, termasuk pelancongan perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Penerbangan Sulung Kuching-Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Jumaat.
Menurut beliau, peluasan rangkaian penerbangan itu akan memberi tumpuan kepada destinasi strategik yang berpotensi meningkatkan kemasukan pelancong antarabangsa, termasuk mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan rawatan perubatan di Sarawak.
Sehubungan itu, Bangkok di Thailand dikenal pasti sebagai antara destinasi baharu yang sedang dipertimbangkan, dengan penerbangan terus disasarkan seawal suku pertama 2027.
Selain Bangkok, Seoul dan Pulau Jeju di Korea Selatan turut dikenal pasti sebagai destinasi berpotensi dalam perancangan jangka panjang pengembangan rangkaian penerbangan AirBorneo.
Terdahulu, AirBorneo melancarkan penerbangan terus Kuching-Jakarta pada Jumaat, sekali gus memperluas hubungan udara Sarawak dengan Indonesia serta membuka peluang baharu kepada sektor pelancongan dan perkhidmatan negeri ini.-EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Ibanez Jeffery Guang & George Embie