Perdagangan Karbon Buka Peluang Baharu, Manfaat Tanah NCR
SARIKEI: Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang belum dibangunkan berpotensi diteroka menerusi perdagangan karbon, sekali gus membuka peluang baharu dalam pemanfaatan tanah di Sarawak.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, potensi itu melibatkan kawasan yang tidak diusahakan dengan aktiviti pertanian.
Menurut beliau, kawasan berkenaan boleh dikenal pasti untuk menilai kesesuaiannya bagi aktiviti perdagangan karbon menerusi penelitian lanjut bersama Jabatan Hutan Sarawak.
“Sekiranya kawasan tanah berkenaan tidak ditanam dengan kelapa sawit atau tanaman lain, kita boleh melihat potensinya untuk perdagangan karbon,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 di Pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak, pada Jumaat.
Beliau berkata, kerjasama dengan Jabatan Hutan Sarawak penting bagi meneliti potensi tersebut sebelum pendekatan pelaksanaannya dapat dikenal pasti dengan lebih terperinci.
Dalam usaha memberi pendedahan kepada pemilik tanah, satu sesi taklimat turut dirancang khususnya bagi mereka yang mempunyai tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.
Jelasnya, taklimat itu bertujuan meningkatkan pemahaman pemilik tanah mengenai perdagangan karbon, termasuk potensi manfaat yang boleh diteroka menerusi inisiatif berkenaan pada masa hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, kira-kira tiga juta ekar tanah di seluruh Sarawak telah melalui proses penyukatan, bersamaan sekitar 1.2 juta hektar.
Daripada jumlah tersebut, hampir satu juta hektar telah diwartakan, namun sebahagian besar kawasan berkenaan masih belum diterokai atau dibangunkan sepenuhnya.
Datuk Len Talif berkata, hanya sekitar 10 hingga 15 peratus kawasan tanah yang telah disukat dilaporkan sudah diterokai, sekali gus menunjukkan masih terdapat ruang pemanfaatan tanah.
Katanya, keadaan tersebut membuka peluang untuk meneliti perdagangan karbon sebagai salah satu pilihan penggunaan tanah, tertakluk kepada kesesuaian kawasan dan penelitian agensi berkaitan.-EDISI UKAS