AirBorneo Mulakan Penerbangan Terus Kuching-Jakarta Hari Ini
KUCHING: AirBorneo secara rasmi memulakan penerbangan sulung terus dari Kuching ke Jakarta pada Jumaat, sekali gus memperkukuh hubungan udara antara Sarawak dan Indonesia serta membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan, khususnya pelancongan kesihatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata, Jakarta merupakan destinasi antarabangsa kedua AirBorneo selepas Singapura dalam usaha memperluas jaringan penerbangan serantau, khususnya di ASEAN.
Menurut beliau, laluan baharu dengan tempoh penerbangan kurang dua jam itu dijangka memberi manfaat kepada industri pelancongan dan perkhidmatan Sarawak, termasuk menarik lebih ramai pelawat dari Indonesia mendapatkan rawatan kesihatan di negeri ini.
“Ini adalah destinasi kedua selepas Singapura dalam laluan kita di ASEAN.
“Tadi kita dapat lihat banyak doktor hospital swasta kita ke Jakarta dan ini saya rasa akan memberikan pulangan kepada industri pelancongan dan perkhidmatan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Penerbangan Sulung Kuching-Jakarta, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Premier Sarawak berkata, kerajaan negeri turut merancang untuk memperkukuh infrastruktur hospitaliti menerusi pembangunan hotel bertaraf antarabangsa dan kemudahan persidangan bagi menampung peningkatan jumlah pelancong serta pelawat perniagaan.
“Sekarang kita sedang menambah bilangan hotel iaitu sebuah akan terletak di Jalan Ban Hock manakala sebuah lagi akan dibangunkan di kawasan Ting Ting Supermarket untuk kita memiliki dua lagi hotel antarabangsa.
“Selain hotel, kita juga membangunkan tempat persidangan iaitu Pusat Konvensyen Borneo Kuching 2 (BCCK 2) yang kini dalam proses pembinaan,” jelas beliau.
Pembangunan kemudahan berkenaan dijangka meningkatkan keupayaan Sarawak sebagai destinasi pelancongan, rawatan kesihatan serta penganjuran mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) di rantau ini.
Untuk rekod, penerbangan terus Kuching-Jakarta beroperasi tiga kali seminggu, iaitu setiap Isnin, Jumaat dan Ahad, dengan tambang sehala bermula RM399 bagi kelas ekonomi dan RM888 bagi kelas perniagaan.
Tambang tersebut merangkumi kemudahan bagasi daftar masuk, pemilihan tempat duduk serta hidangan sepanjang penerbangan.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi AirBorneo Airways Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin.-EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Ibanez Jeffery Guang & George Embie