Penyukatan Tanah Bukan Bermusim, Penyerahan Hak Milik Tanah Diteruskan
SARIKEI: Kerajaan Sarawak terus melaksanakan usaha penyukatan dan penyerahan hak milik tanah secara berterusan sepanjang tahun, bukan hanya menjelang musim pilihan raya.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, usaha menyelesaikan isu tanah sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri dan tidak seharusnya dikaitkan dengan tempoh atau musim tertentu.
Menurutnya, lebih 20 program penyerahan hak tanah telah dilaksanakan sepanjang tahun ini menerusi usaha berterusan kerajaan dalam memastikan pemilik tanah mendapat pengiktirafan terhadap hak masing-masing.
“Sejak tahun ini sahaja, lebih 20 program penyerahan hak tanah telah saya laksanakan dan angka itu tidak termasuk program yang dijalankan oleh Yang Berhormat Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
“Usaha ini bukan bermusim, sebaliknya akan diteruskan sepanjang tahun selagi diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Bagi Kawasan Ulu Sare Sarikei, Sare - Sentebu di Pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak Bahagian Sarikei, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk Len berkata kerajaan negeri mahu mempercepatkan penyelesaian proses penyukatan tanah supaya sumber kewangan dan tenaga kerja Jabatan Tanah dan Survei dapat dimanfaatkan untuk keperluan lain.
Katanya, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM40 juta setiap tahun bagi kerja penyukatan tanah, selain RM30 juta untuk pengambilan 367 kakitangan baharu bagi memperkukuh pelaksanaan usaha berkenaan.
Jelas beliau, penyelesaian proses penyukatan tanah dalam tempoh lebih singkat membolehkan peruntukan sedia ada disalurkan kepada keperluan lain yang turut memerlukan perhatian kerajaan negeri.-EDISI UKAS