Pemilik Tanah NCR Diseru Bangunkan Tanah, Bukan Jual Demi Keuntungan Segera
SARIKEI: Seramai 177 penduduk di kawasan Ulu Sarikei (Sare) menerima surat hak milik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menerusi pengeluaran dokumen pemilikan di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, pemilikan tanah yang diiktiraf perlu dimanfaatkan melalui aktiviti pembangunan bagi memberikan pulangan ekonomi kepada pemilik.
Beliau menegaskan bahawa tanah berkenaan wajar dikekalkan dan diusahakan, bukannya dijual semata-mata untuk memperoleh keuntungan dalam tempoh singkat.
“Janganlah kerana keuntungan jangka pendek, kita menjual tanah yang diwarisi. Sebaliknya, usahakan dan bangunkan tanah tersebut agar mampu menjana pendapatan isi rumah serta menyediakan masa depan lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan Ulu Sarikei (Sare), Sarikei di Pejabat Pentadbiran Kerajaan Sarawak, pada Jumaat.
Menurut Dato Sri Huang, pemilik tanah juga boleh mengambil peluang daripada pelbagai inisiatif dan bantuan yang disediakan Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Sarawak bagi mengembangkan kegiatan ekonomi berasaskan tanah.
Katanya, pemberian surat hak milik di bawah Seksyen 18 memberikan jaminan pemilikan tanah secara kekal, selain menikmati pengecualian bayaran premium dan cukai tanah.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan Program Pengukuran Tanah NCR yang diperkenalkan pada 2010 bertujuan memastikan hak pemilikan masyarakat Bumiputera diiktiraf melalui pengukuran perimeter, pewartaan serta pengukuran lot individu.
Beliau turut mengingatkan pemilik tanah supaya memberikan kerjasama kepada Jabatan Tanah dan Survei, khususnya dalam mengenal pasti sempadan serta memastikan kawasan yang hendak diukur tidak mempunyai pertikaian.
Kerjasama semua pihak termasuk ketua kaum dan ketua masyarakat penting bagi memastikan proses pengukuran lot individu dapat diselesaikan tanpa kelewatan.-EDISI UKAS