KUCHING: Sarawak kini memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi berasaskan data pintar yang mempunyai aplikasi lebih luas, termasuk dalam sektor industri dan perkhidmatan global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendekatan itu selari dengan hasrat negeri untuk memastikan pelaburan teknologi yang diterima bukan sekadar membawa masuk modal, tetapi membina keupayaan ekonomi tempatan serta membuka ruang penyertaan tenaga kerja Sarawak dalam industri bernilai tinggi.
Memberi contoh projek pusat data di sini, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, ia bukan pelaburan sembarangan, sebaliknya kerajaan negeri memberi keutamaan kepada projek yang mampu menjana peluang pekerjaan dan mewujudkan nilai tambah kepada ekonomi negeri.
Menurutnya, pusat data yang hanya berfungsi sebagai tempat menyimpan maklumat tidak semestinya memberikan pulangan ekonomi yang setimpal sekiranya tidak disertai aktiviti yang mampu merangsang pertumbuhan industri dan pekerjaan.
“Orang bercakap mengenai pusat data kerana ia menggunakan tenaga yang banyak, tetapi Sarawak bersikap selektif.
“Bagi saya, pusat data hanyalah sebuah gudang untuk menyimpan data, tetapi data itu mesti menghasilkan pekerjaan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Anugerah Usahawan Terbaik Sarawak (EOYS) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Jumaat.
Bagaimanapun, Datuk Patinggi Abang Zohari tidak menolak kemungkinan pusat data konvensional menjadi kurang relevan dalam tempoh tujuh tahun akan datang susulan kemunculan teknologi AI yang membolehkan aliran dan pemprosesan data berlaku dengan lebih pantas.
“Saya berpendapat pusat data mungkin menjadi lapuk dalam tempoh tujuh tahun lagi kerana perkembangan AI, apabila data dapat mengalir secara masa nyata dengan kelajuan seperti cahaya,” ujar beliau lagi.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia Dr Mubarak Saeed Al Dhaheri, Presiden Kehormat Seumur Hidup Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg, Presiden SCCI Datuk (Dr) Philip Ting Ding Ing serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS