KDNK Sarawak RM282 Bilion Menjelang 2030 Mampu Dicapai, Berpotensi Catat Lebih Tinggi
KUCHING: Sasaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak sebanyak RM282 bilion menjelang 2030 berpotensi dicapai susulan kemasukan pelaburan strategik dalam sektor teknologi, pembuatan dan industri bernilai tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkembangan pelaburan semasa menunjukkan ekonomi negeri mempunyai ruang untuk berkembang melebihi unjuran asal, khususnya dengan beberapa cadangan pelaburan berskala besar yang sedang diteroka.
“Saya berpendapat kita mampu mencapai sasaran KDNK RM282 bilion menjelang 2030 berdasarkan jumlah pelaburan yang sedang masuk, termasuk perkembangan terbaharu. Malah, angka itu mungkin lebih tinggi,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Terbaik Sarawak (EOYS) 2026, di sini pada Jumaat.
Menurut beliau lagi, perkembangan itu turut disokong kedudukan Sarawak sebagai antara lima wilayah pengeksport terbesar di Malaysia selepas Pulau Pinang, Selangor dan Johor, sekali gus memperlihatkan sumbangan negeri yang semakin penting kepada perdagangan negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan kekuatan sumber asli, pembangunan modal insan dan peningkatan aktiviti pelaburan menjadi asas kepada keupayaan Sarawak memperluas kapasiti ekonominya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Sehubungan itu, beliau menyatakan keyakinan bahawa Sarawak berpotensi mengatasi Johor atau Selangor sebagai wilayah pengeksport utama negara pada masa depan.
“Saya fikir mungkin suatu hari nanti kita boleh mengatasi Johor atau malah Selangor sebagai wilayah pengeksport utama Malaysia kerana ekonomi kita sedang berkembang, modal insan sedang dilatih dan kita mempunyai sumber yang diperlukan,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS