10 Usahawan B40 Beluru, Tinjar Terima Bantuan Peralatan RM50,000
TINJAR: Seramai 10 usahawan daripada golongan B40 di Daerah Beluru dan Daerah Kecil Tinjar menerima bantuan peralatan perniagaan bernilai RM50,000 menerusi Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) @ Usahawan B40 Tahun 2026 bagi meningkatkan produktiviti serta mengembangkan perniagaan mereka.
Bantuan berkenaan bertujuan membantu penerima meningkatkan produktiviti, memperkemas operasi perniagaan serta mengembangkan sumber pendapatan keluarga.
Pegawai Pembangunan Zon Miri, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Hasliza Sahfari berkata, komponen Usahawan B40 mula dilaksanakan pada Ogos 2026 sebagai peluasan kepada Program SejaTi MADANI.
“Program ini menyasarkan usahawan kecil, penjaja dan peniaga pasar malam daripada isi rumah berpendapatan rendah, termasuk mereka yang berdaftar dalam sistem eKasih,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Peralatan Perniagaan di bawah Program SejaTi MADANI @ Usahawan B40 Tahun 2026 bagi Daerah Beluru yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kecil Tinjar, pada Jumaat.
Sementara itu, Pegawai Daerah Beluru, Charles Aloysius Lisu menggalakkan semua penerima supaya menjaga dan memanfaatkan peralatan yang disumbangkan dengan sebaiknya bagi meningkatkan produktiviti serta kualiti produk masing-masing.
Beliau turut mengingatkan usahawan supaya terus meningkatkan mutu produk dan perkhidmatan, memperluas pasaran serta mencari peluang untuk mengembangkan perniagaan.
Menurutnya, kejayaan dalam bidang keusahawanan bukan sahaja bergantung kepada bantuan yang diterima, malah memerlukan komitmen, disiplin, kreativiti dan kesungguhan setiap individu.
Bagi memastikan bantuan itu dimanfaatkan secara berkesan, pemantauan akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan selepas penyerahan untuk menilai penggunaan peralatan serta mengenal pasti cabaran yang dihadapi penerima dalam menguruskan perniagaan.
Majlis berkenaan merupakan sesi penyerahan pertama program tersebut di Bahagian Miri bagi tahun 2026 dan dilaksanakan oleh ICU JPM Sarawak dengan kerjasama Pejabat Daerah Beluru sebagai rakan strategik bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan sasaran.
10 penerima bantuan ialah Corina Incham, Debora Dungkong Simon, Helen Kiyong, Lela Sahar, Mary Gerinsa, Norhayati Mahari, Norita Kedit, Raymond John Paul Malang, Sindung Jinggang dan Victoria Bakar.
Turut hadir, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Beluru, Esther Maideri Iban, Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Tinjar, Deo Keneth Dibek @ David serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum dari Daerah Beluru dan Daerah Kecil Tinjar.-EDISI UKAS