KOTA SAMARAHAN: Generasi muda perlu diperkasa dengan nilai disiplin, semangat patriotisme dan kemahiran kepimpinan bagi memastikan kesinambungan keamanan, keselamatan serta kedaulatan negara.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, golongan muda merupakan aset penting negara yang perlu diberikan ruang dan kepercayaan untuk memainkan peranan dalam pembangunan serta kepimpinan komuniti.
“Dahulu, orang melihat teguhnya sesebuah kerajaan pada kukuhnya kubu yang melindungi rakyatnya. Kini, anak mudalah benteng yang menjaga keamanan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Mini Civil-Military Cooperation (CIMIC) Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) x Rasa Fest di pekarangan Stadium Terbuka Samarahan, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Rubiah menegaskan bahawa tanggungjawab mempertahankan keamanan negara bukan hanya terletak di bahu anggota tentera, sebaliknya memerlukan penglibatan seluruh masyarakat bermula daripada institusi keluarga.
“Anggota tentera menjaga kedaulatan negara. Apabila kita bercakap tentang pertahanan, fikirkan juga tempat yang paling dekat dengan kita, iaitu rumah dan kampung sendiri,” katanya.
Sementara itu, penganjuran karnival selama lima hari bermula 11 hingga 15 November 2026 tersebut menjadi platform memperkukuh hubungan strategik antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi kerajaan dan masyarakat setempat.
Turut hadir, Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia Mejar Jeneral Dato Mohd Sobirin Mohd Yusof, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Zulkinine Yunus, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak, Ketua Staf Operasi dan Latihan Markas 1 Divisyen Kolonel Rosezaimee Abdullah @ Ismail serta Ketua Staf Tadbir dan Logistik Markas 1 Divisyen Kolonel Idham Md Rusli. – EDISI UKAS