Karnival CIMIC Perkukuh Hubungan Awam-Tentera, Semarak Semangat Patriotisme
KOTA SAMARAHAN: Penganjuran Karnival Mini Civil-Military Cooperation (CIMIC) Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) x Rasa Fest selama lima hari bermula 11 hingga 15 November 2026 menjadi platform strategik dalam memperkukuh hubungan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi kerajaan dan masyarakat, selain menyemarakkan semangat patriotisme.
Karnival yang berlangsung di Perkarangan Stadium Terbuka Samarahan itu merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi mendekatkan ATM dengan rakyat serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab bersama dalam memelihara keselamatan dan kedaulatan negara.
Majlis perasmian karnival berkenaan disempurnakan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Hajah Rubiah Wang bersama Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen), Mejar Jeneral Dato Mohd Sobirin Mohd Yusof pada Sabtu.
Dalam ucapan aluannya, Mejar Jeneral Dato Mohd Sobirin berkata, pelaksanaan PSPN merupakan antara inisiatif Kementerian Pertahanan untuk memperkukuh kerjasama antara masyarakat awam dengan ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Program ini menekankan pentingnya pelbagai kerjasama antara masyarakat awam dan tentera bagi memastikan komuniti awam serta pemimpin di semua peringkat memahami betapa pentingnya kesefahaman, penglibatan, kerjasama dan peranan masyarakat dalam menjaga keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya.
Menurut beliau, penganjuran karnival itu turut mencerminkan semangat patriotisme dan kerjasama masyarakat dengan pihak tentera yang terus subur merentas generasi.
Antara pengisian utama karnival ialah pameran aset dan keupayaan pertahanan, demonstrasi ketenteraan, pertunjukan Tempur Tanpa Senjata (TTS) serta persembahan Pancaragam Tentera Darat.
Orang ramai turut berpeluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan am dan pergigian secara percuma, menyaksikan operasi Hospital Medan serta mempelajari kemahiran ikhtiar hidup menerusi Survival Village.
Selain itu, khidmat nasihat kerjaya dan kaunter pengambilan anggota baharu ATM turut disediakan bagi memberi pendedahan kepada golongan belia mengenai peluang kerjaya dalam perkhidmatan ketenteraan.
Penganjuran karnival berkenaan turut mendukung pendekatan Whole-of-Government and Whole-of-Society (WoGoS) serta aspirasi Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) yang menekankan bahawa keselamatan, kedaulatan dan ketahanan negara merupakan tanggungjawab bersama seluruh lapisan masyarakat.
Mejar Jeneral Dato Mohd Sobirin turut berharap agar program seumpama itu dapat diteruskan oleh 1 Divisyen sebagai usaha memperkukuh hubungan erat antara tentera dengan rakyat.
Turut hadir, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Zulkinine Yunus, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak, Ketua Staf Operasi dan Latihan Markas 1 Divisyen Kolonel Rosezaimee Abdullah @ Ismail serta Ketua Staf Tadbir dan Logistik Markas 1 Divisyen Kolonel Idham Md Rusli. –EDISI UKAS