MIRI: Kerjasama antara Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Desa Senadin, Miri dan KRT Pekan Menggatal, Sabah membuka ruang perkongsian amalan terbaik bagi meningkatkan penglibatan penduduk, khususnya golongan muda, dalam aktiviti kejiranan dan perpaduan masyarakat.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pertemuan seumpama itu penting untuk membolehkan kedua-dua pihak bertukar pengalaman serta pendekatan dalam menggerakkan aktiviti kemasyarakatan mengikut keperluan kawasan masing-masing.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Integrasi antara KRT Pekan Menggatal, Sabah dan KRT Desa Senadin di Pusat Rukun Tetangga Desa Senadin Fasa 1, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, setiap kawasan KRT mempunyai cabaran tersendiri, justeru perkongsian pengalaman dapat membantu mengenal pasti pendekatan yang sesuai untuk menarik lebih ramai penduduk menyertai aktiviti kejiranan.
Antara aspek yang boleh dikongsi termasuk pelaksanaan rondaan kejiranan, usaha menggalakkan golongan muda menyertai aktiviti sukarelawan serta penganjuran gotong-royong bagi memupuk semangat kebersamaan dalam komuniti.
Dato Sri Lee turut menyambut baik kunjungan rombongan KRT Pekan Menggatal dan menyifatkannya sebagai peluang untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memperluas jaringan kerjasama antara komuniti Sarawak dan Sabah.
Menurutnya, pertemuan itu bukan sahaja membolehkan perkongsian pengalaman dalam pengurusan aktiviti kejiranan, malah memberi peluang kepada masyarakat kedua-dua negeri mengenali budaya masing-masing dengan lebih dekat.
Beliau berkata, perkongsian mengenai makanan tradisional, adat resam dan cara masyarakat meraikan perayaan dapat meningkatkan kefahaman serta penghargaan terhadap kepelbagaian budaya.
Beliau berharap hubungan yang terjalin antara kedua-dua KRT dapat diteruskan melalui pertukaran lawatan dan pelaksanaan aktiviti bersama pada masa akan datang.
Selain itu, program seumpama itu perlu dimanfaatkan sebagai ruang untuk generasi muda mempelajari nilai kemasyarakatan, berkongsi kemahiran serta mengenali warisan budaya komuniti masing-masing.-EDISI UKAS