MIRI: Usaha mendokumentasi dan memelihara cerita tradisional masyarakat natif Sarawak perlu dipergiat bagi mengelakkan warisan budaya, bahasa, sejarah serta kebijaksanaan generasi terdahulu daripada hilang ditelan perubahan zaman.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, kepelbagaian etnik, bahasa dan tradisi di Sarawak menyimpan khazanah cerita rakyat, legenda serta pengalaman sejarah yang menjadi sebahagian penting identiti negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Penceritaan Antarabangsa (International Storytelling Convention – ISC) 2026 bertemakan “Stories For The Next Generation” di City Rise Hotel, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, perubahan gaya hidup dan pengaruh teknologi moden semakin mencabar usaha mewariskan cerita tradisional, khususnya apabila generasi muda semakin kurang terdedah kepada kisah yang diwariskan oleh nenek moyang mereka.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan mendokumentasi, memelihara, menterjemah dan menyebarluaskan cerita berkenaan, terutama yang berasal daripada masyarakat peribumi dan komuniti tempatan.
Datuk Sebastian turut menggalakkan generasi muda bukan sahaja menjadi pendengar, malah tampil sebagai pencerita bagi mengetengahkan kisah keluarga, komuniti dan warisan tanah air mereka kepada masyarakat lebih luas.
Menurut beliau, penceritaan bukan sekadar medium hiburan dan penyampaian nilai kehidupan, malah berpotensi menyumbang kepada perkembangan industri kreatif serta sektor pelancongan Sarawak.
Katanya, cerita tempatan boleh dikembangkan dalam pelbagai bentuk termasuk filem, animasi, teater, dokumentari dan penerbitan digital, sekali gus membuka peluang ekonomi serta memperkenalkan identiti Sarawak kepada khalayak antarabangsa.
Dalam konteks pembangunan Miri, beliau turut menyambut baik aspirasi bandar raya itu untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai Bandar Kreatif UNESCO bagi kategori Kesusasteraan dengan sasaran mengemukakan pencalonan pada 2027.
Beliau berkata, usaha memperkukuh budaya membaca dan menulis, menyokong penulis tempatan, melahirkan bakat baharu serta memperluas aktiviti kesusasteraan kepada semua lapisan masyarakat penting bagi menyokong aspirasi berkenaan.
Konvensyen anjuran Persatuan Pencerita Sarawak itu berlangsung selama tiga hari dari 13 hingga 15 November, menghimpunkan lebih 200 pencerita antarabangsa dan tempatan, pendidik serta penggiat budaya untuk berkongsi pengalaman dan meneroka peranan penceritaan dalam pendidikan, pemeliharaan identiti budaya serta hubungan antara generasi.
Antara pengisian utama ialah sesi dialog antarabangsa bertajuk “Why Stories Still Matter” yang menampilkan pencerita dari Indonesia, Ariyo Zidni; Singapura, Sheila Wee; dan Brunei, Mas Andika Puteri, dengan Grace Wong dari Malaysia bertindak sebagai moderator.
Program turut menampilkan persembahan kolaboratif “Stories from Borneo” oleh Carmen Kuan, Ellis Sebai Bandak dan Janet Tang, selain persembahan tarian kebudayaan oleh Little Hornbill Legacy, Lepak Miri serta persembahan sape.
Turut hadir, Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri Arifin Mohamad, Pengarah Urusan MYY Mall Ian Kuek dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ISC 2026 Choa Siew Ping.-EDISI UKAS