Kecemerlangan Pendidikan Perlu Seimbang Akademik, Akhlak
MIRI: Kecemerlangan pendidikan perlu merangkumi pencapaian akademik serta pembentukan akhlak, disiplin dan sahsiah terpuji bagi melahirkan generasi muda yang berilmu, berintegriti dan mampu menyumbang kepada masyarakat.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ilmu pengetahuan merupakan asas kemajuan, manakala akhlak dan nilai-nilai murni menjadi panduan penting dalam kehidupan seseorang.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan 2026 Sekolah Kebangsaan Agama (MIS) Miri bertemakan “Mekar dalam Ilmu, Bersinar dalam Akhlak” di Dewan Elit, SK Merbau, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, kedua-dua aspek itu perlu dibentuk secara seimbang supaya murid bukan sahaja mencapai kejayaan dalam pelajaran, malah mempunyai keperibadian yang baik untuk menghadapi cabaran masa depan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan murid yang belum menerima anugerah supaya tidak berasa kecewa kerana setiap individu mempunyai potensi dan kelebihan tersendiri.
Sebaliknya, mereka perlu terus berusaha, meningkatkan disiplin dan tidak mudah berputus asa kerana kejayaan memerlukan kesabaran serta usaha berterusan.
Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan bukan sekadar bertujuan membanggakan ibu bapa, sebaliknya merupakan pelaburan penting bagi membina masa depan anak-anak sendiri.
Dalam usaha melahirkan murid yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah, Dato Sri Lee menekankan kepentingan kerjasama antara pihak sekolah, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa serta komuniti setempat.
Menurutnya, guru bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan, malah memainkan peranan penting dalam membimbing murid dan membentuk sahsiah mereka, manakala ibu bapa perlu terus memberikan sokongan, perhatian serta galakan kepada anak-anak.
Mengulas pembangunan pendidikan di Sarawak, beliau berkata kerajaan negeri terus memberikan perhatian terhadap usaha memperluas peluang pendidikan anak-anak Sarawak, termasuk akses melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi melalui institusi pengajian milik negeri serta inisiatif pendidikan percuma bagi mereka yang memenuhi syarat kelayakan.
Katanya, usaha memperluas peluang pendidikan itu turut penting dalam melahirkan lebih ramai tenaga profesional dan pakar tempatan dalam bidang perubatan, kejuruteraan, teknologi maklumat, kecerdasan buatan (AI) serta bidang teknikal.
Beliau berkata, pembangunan kepakaran anak tempatan dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pakar dari luar, selain meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan isi rumah bagi menyokong aspirasi Sarawak menjadi wilayah berpendapatan tinggi.
Sehubungan itu, beliau menyeru murid supaya memanfaatkan peluang pendidikan yang tersedia dengan belajar bersungguh-sungguh demi membina masa depan yang lebih baik.-EDISI UKAS