Kajian Semula Adat Natif Sarawak Perlu Diperkasa, Kekal Relevan Dengan Perubahan Zaman
BINTULU: Kajian semula Adat Iban 1993 dan Adet Kayan-Kenyah 1994 perlu diberi perhatian bagi memastikan warisan adat masyarakat natif Sarawak terus terpelihara serta kekal relevan seiring perubahan gaya hidup dan perkembangan teknologi masa kini.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, usaha itu penting bagi memastikan adat masyarakat terus difahami dan diamalkan dalam persekitaran yang semakin dipengaruhi teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan Program Libat Urus Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) bagi Zon Tengah (Sibu dan Kapit) 2026 di Imperial Hotel, di sini, Jumaat.
Menurutnya, pemahaman mengenai kedudukan adat dalam sistem perundangan sivil serta hubung kaitnya dengan pentadbiran tanah adat berdasarkan Kanun Tanah Sarawak juga perlu dipertingkatkan.
Dato Sri John menegaskan bahawa usaha memelihara, membangun dan menyebarluaskan adat bukan tanggungjawab MAIS semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama berterusan daripada ketua masyarakat, jabatan dan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, ketua masyarakat memainkan peranan penting dalam menyampaikan pengetahuan adat, membimbing masyarakat serta membantu mengenal pasti isu berkaitan adat di peringkat akar umbi.
Beliau turut menggalakkan pertubuhan masyarakat seperti Sarawak Dayak National Union (SDNU), Sarawak Dayak Iban Association (SADIA), Sarawak Iban Dayak Association (SIDS), Dayak Bidayuh National Association (DBNA) dan Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak, Malaysia (FORUM) untuk bersama memperluas penyampaian maklumat serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan adat.
Program anjuran MAIS itu menghimpunkan seramai 145 peserta terdiri daripada ketua masyarakat dari Bahagian Sibu dan Kapit, wakil agensi kerajaan serta NGO bagi meningkatkan pemahaman mengenai fungsi dan peranan MAIS serta kepentingan adat dalam kehidupan masyarakat masa kini.
Antara pengisian program ialah pembentangan berkaitan kedudukan adat dalam sistem perundangan Sarawak dan pentadbiran tanah adat berdasarkan pindaan Kanun Tanah Negeri 2018, selain perkongsian perkembangan kajian semula Adat Iban 1993, Adet Kayan-Kenyah 1994 dan pengenalan Adet Penan 2011.
Pegawai penyelidik MAIS turut berkongsi maklumat mengenai budaya, tradisi dan sejarah masyarakat natif Sarawak bagi memperluas pemahaman peserta terhadap warisan adat pelbagai etnik.
Program turut menampilkan forum bertajuk ‘Perkongsian Pengalaman dalam Pentadbiran Adat sebagai Ahli Majlis Adat Istiadat Sarawak’ yang menghimpunkan tiga ahli MAIS, iaitu Temenggong Joseph Ngau Lian, Temenggong Boniface Bada @ Bada Enjah dan Pemanca Umek Jeno.
Selain sesi perkongsian ilmu, pameran mini turut mengetengahkan warisan empat kumpulan etnik natif utama Sarawak, iaitu Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan Melanau, meliputi gaya hidup, pakaian tradisional, kraftangan serta warisan budaya masing-masing.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Ketua MAIS Datu Dr. Neilson Ilan Mersat, Setiausaha MAIS Elsie William, Ahli Majlis MAIS Temenggong Dato Henry Bujang Sedan, Residen Bahagian Kapit Elvis Didit, Peguam Negeri Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak Simon Engka Crown serta wakil Residen Bahagian Bintulu, Jeffrey Jalong.-EDISI UKAS