Agape Centre Himpun Lima Organisasi, Perkukuh Sokongan Kepada Komuniti
SIBU: Agape Centre terus memainkan peranan penting sebagai institusi berasaskan komuniti yang menghimpunkan lima organisasi bagi memenuhi keperluan sosial masyarakat, khususnya golongan kanak-kanak berkeperluan khas.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata Agape Centre yang kini memasuki usia 20 tahun membuktikan kepentingan kerjasama antara pelbagai organisasi dalam memastikan tiada golongan masyarakat yang tercicir.
Menurut beliau, keistimewaan Agape Centre terletak pada keupayaannya menghimpunkan organisasi yang mempunyai tanggungjawab dan kepakaran berbeza di bawah satu bumbung dengan matlamat bersama untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
“Selama 20 tahun, Agape Centre telah menjadi sebuah institusi berasaskan komuniti yang penting dengan menghimpunkan pelbagai organisasi di bawah satu bumbung bagi menangani keperluan sosial masyarakat,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Agape Centre di Agape Centre, Sibu pada Sabtu.
Lima organisasi yang beroperasi di Agape Centre ialah Persatuan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas Sibu, Methodist Care Centre, Sibu Autistic Association, Special Olympics Sibu dan Klinik Kanak-Kanak Memorial Lau King Howe.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata kewujudan pusat berkenaan selaras dengan pendekatan pembangunan Sarawak yang menekankan aspek keterangkuman sosial, selain kemakmuran ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
Ujarnya, pembangunan negeri bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, malah memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat peluang dan sokongan yang sewajarnya.
“Keterangkuman sosial bermakna kita merangkul setiap komuniti supaya tidak ada yang tercicir,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Sibu Community Services Association, Datuk Tiong Thai King atas komitmen dan sumbangan berterusan dalam menyokong Agape Centre.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Agape Centre kerana menamakan salah sebuah bangunan baharu berkenaan sempena mendiang isterinya, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, sebagai mengenang sumbangan beliau kepada masyarakat.
Beliau berkata, mendiang isterinya turut memainkan peranan dalam menggerakkan usaha kebajikan, termasuk membantu golongan kanak-kanak berkeperluan khas dan masyarakat yang memerlukan.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee, Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said, Pengerusi Persatuan Perkhidmatan Masyarakat Sibu, Datuk Tiong Thai King, Ahli Pengasas Sibu AGAPE Centre serta tetamu lain.-EDISI UKAS