Manfaat Pembangunan Perlu Sampai Ke Peringkat Akar Umbi
KUCHING: Pelaksanaan dasar pembangunan negara perlu diterjemahkan kepada peluang dan manfaat nyata di peringkat akar umbi bagi memastikan setiap lapisan masyarakat, khususnya komuniti luar bandar, berpeluang menikmati kemajuan ekonomi secara inklusif.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, keberkesanan sesuatu dasar tidak seharusnya diukur berdasarkan perancangan atau pelaksanaannya semata-mata, sebaliknya sejauh mana dasar berkenaan mampu membawa perubahan positif kepada kehidupan masyarakat yang disasarkan.
Menurut beliau, setiap komuniti perlu mempunyai akses kepada latihan keusahawanan, pembiayaan, kepakaran teknikal dan peluang pasaran bagi membolehkan mereka membangunkan potensi serta menjana pendapatan mampan.
“Sesebuah dasar hanya bermakna apabila ia mampu membawa perubahan kepada kehidupan masyarakat yang menjadi kumpulan sasarannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan ‘RISE 2026: Rising Impact Through Sustainable Empowerment’ serta pelancaran buku ‘Empowering Communities, Building Sustainable Futures’ di sini, pada Sabtu.
Datuk Amar Fadillah berkata, pembangunan ekonomi sosial melalui perusahaan sosial, koperasi, pertubuhan bukan kerajaan dan organisasi berasaskan komuniti merupakan antara pendekatan penting dalam membuka peluang pekerjaan dan menjana pendapatan, khususnya kepada golongan yang berdepan kekangan untuk menyertai aktiviti ekonomi.
Jelas beliau, usaha berkenaan memerlukan ekosistem sokongan yang menyeluruh merangkumi akses kepada pembiayaan, pasaran, kepakaran teknikal, sokongan institusi serta kerjasama berkesan antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.
Sehubungan itu, katanya, program pembangunan kapasiti seperti RISE 2026 penting dalam memperkukuh keupayaan penyedia penyelesaian Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia mengenai Matlamat Pembangunan Lestari (APPGM-SDG) di Sarawak menerusi peningkatan pengetahuan, pengurusan kewangan, tadbir urus, kepimpinan dan pembentukan jaringan kerjasama strategik.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa keselamatan makanan merupakan keutamaan pembangunan negara yang berkait rapat dengan kesejahteraan isi rumah, daya tahan ekonomi dan kestabilan komuniti.
Katanya, Sarawak mempunyai potensi besar dalam memperkukuh pengeluaran makanan domestik menerusi sumber tanah, kepelbagaian pertanian, biodiversiti serta pengetahuan masyarakat tempatan.
RISE 2026 turut menjadi platform memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, institusi akademik dan masyarakat sivil dalam memastikan agenda pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta SDG dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata di peringkat akar umbi.
Pelancaran buku ‘Empowering Communities, Building Sustainable Future’ itu juga mendokumentasikan pengalaman serta kisah kejayaan projek keselamatan makanan dan pembangunan berasaskan komuniti yang dilaksanakan oleh penyedia penyelesaian APPGM-SDG bersama komuniti rakan mereka.
Turut hadir ialah Penasihat Persatuan Promosi Matlamat Pembangunan Lestari (PPMPL), Sekretariat APPGM-SDG, Dato Sri Rohani Abdul Karim, Pengarah Eksekutif APPGM-SDG, Rahmah Othman, Ketua Wilayah Sarawak APPGM-SDG, Raine Melissa Riman, Pengarah Jabatan Kewangan APPGM-SDG, Rachel Tan serta Pengarah Jabatan Pengurusan Projek APPGM-SDG, Nur Farah Ezzaty Abdul Aziz.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Mia Amira Jalil