KUCHING: Warisan budaya masyarakat Jawa perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda bagi memastikan khazanah kepelbagaian budaya terus menjadi sebahagian daripada identiti Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, masyarakat Jawa yang merupakan komuniti minoriti di Sarawak turut memainkan peranan penting dalam memperkayakan kepelbagaian budaya negeri ini.
Menurut beliau, kepelbagaian kaum, agama dan kepercayaan merupakan kekuatan yang membolehkan masyarakat terus hidup dalam suasana harmoni, saling menghormati dan bersatu padu.
“Kepelbagaian ialah menjadi kekuatan kita, bukan menyebabkan kelemahan. Sebab itu amat penting untuk kita hayati dan memperkenalkan, mengetengahkan budaya kita supaya ia akan turun-temurun, bukan sahaja diamalkan tetapi menjadi budaya kehidupan yang terus diamalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Semarak Seni Jawa (SEJIWA) @ Pesta Ambeng 2.0 di Kampung Kolong 2, di sini, pada Sabtu.
Datuk Amar Fadillah turut menegaskan usaha memelihara warisan budaya perlu merangkumi pelbagai aspek termasuk adat resam, pakaian tradisional, makanan dan kesenian bagi memastikan identiti masyarakat terus kekal meskipun berdepan arus pembangunan dan perubahan zaman.
Mengulas penganjuran program itu, beliau berkata Pesta Ambeng yang kali terakhir dianjurkan pada 2017 berjaya menghimpunkan seramai 873 pengunjung sebelum dihidupkan semula menerusi penganjuran edisi 2026.
Menurutnya, penganjuran semula program berkenaan menjadi platform untuk mengetengahkan adat resam dan warisan masyarakat Jawa di Kuching khususnya dan Sarawak amnya.
Inisiatif anjuran Masjid Baitul Rahim dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kolong 2 dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) itu turut menyokong aspirasi Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN), iaitu “Negara Maju Rakyat Berbudaya”.
Sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai aktiviti disediakan termasuk bengkel penyediaan makanan tradisional Jawa seperti nasi ambeng, wajik, pecel, keluban dan tempe bacem, selain pameran kebudayaan, persembahan tarian, pertandingan nyanyian lagu Jawa serta pertunjukan fesyen.
Penganjur turut menyasarkan penyediaan 100 set nasi ambeng bagi meraikan kira-kira 1,000 pengunjung sepanjang program berlangsung.
Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Amar Ruziah Mohd Tahir, Ketua Kaum Kampung Kolong 2 Gandhi Robine, Pengerusi Masjid Baitul Rahim Saruji Samino serta pemimpin masyarakat setempat.- EDISI UKAS