SEZ Sibu Berpotensi Perkukuh peranan Sebagai Hab Perdagangan Strategik
SIBU: Cadangan mewujudkan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Sibu dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan bandar itu sebagai hab perdagangan strategik di tengah Sarawak, selain menarik lebih banyak pelaburan menerusi insentif percukaian.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kewujudan SEZ berkenaan akan membolehkan Sibu menikmati insentif cukai yang seterusnya dapat merancakkan aktiviti ekonomi serta menarik pelaburan ke bandar berkenaan.
“Dengan adanya insentif cukai itu, kita boleh mempunyai pelan induk untuk Sibu dan pada masa sama meningkatkan peranan Sibu sebagai hab perdagangan strategik di tengah Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun Ke-20 Agape Centre Sibu di Agape Centre Sibu pada Sabtu.
Menurut Premier Sarawak, pelaksanaan SEZ Sibu perlu disokong dengan pelan induk pembangunan bandar yang menyeluruh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi berlaku secara terancang.
Katanya, antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk usaha menangani masalah banjir dan kesesakan, selain merancang pembangunan kawasan perindustrian di luar pusat bandar.
“Saya berharap Sibu akan menjadi seperti Amsterdam. Itu adalah cita-cita saya, supaya kita tidak lagi berdepan masalah banjir, mempunyai terusan dan menjadikan bandar Sibu lebih menyerupai sebuah bandar peranginan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata kawasan pembuatan juga boleh dibangunkan di luar kawasan pusat bandar bagi mewujudkan persekitaran bandar yang lebih tersusun, di samping menarik pelaburan baharu yang dapat menikmati insentif termasuk pelepasan cukai daripada Kerajaan Persekutuan.
Sehubungan itu, beliau berkata sebuah pihak berkuasa khas perlu diwujudkan bagi melihat secara khusus pembangunan SEZ Sibu serta memastikan pelan induk yang dirangka dapat dilaksanakan secara berkesan.
Beliau turut menjadikan kerjasama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura sebagai antara model yang boleh dijadikan rujukan dalam pembangunan SEZ Sibu.
Terdahulu, beliau turut berkesempatan melawat lima organisasi yang beroperasi di Agape Centre, iaitu Persatuan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas, Pusat Penjagaan Methodist, Special Olympics Sibu, Persatuan Autisme Sibu dan Klinik Kanak-Kanak Memorial Lau King Howe.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee, Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said, Pengerusi Persatuan Perkhidmatan Masyarakat Sibu, Datuk Tiong Thai King, Ahli Pengasas Sibu AGAPE Centre serta tetamu lain.-EDISI UKAS