Pembubaran Awal Parlimen Belum Sesuai, Belanjawan 2027 Perlu Diselesaikan Dahulu
KUCHING: Pembubaran awal Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal dilihat belum sesuai dilaksanakan ketika proses penelitian, perbahasan dan kelulusan Belanjawan 2027 masih belum selesai.
Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan proses perundangan Belanjawan 2027 diselesaikan terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap pengurusan kewangan serta pelaksanaan agenda pembangunan negara.
“Keadaan ini boleh melambatkan kelulusan peruntukan kewangan yang diperlukan untuk perbelanjaan kerajaan, projek pembangunan, program infrastruktur serta pelbagai komitmen lain yang melibatkan kepentingan jutaan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Senator Dato’ Ahmad menambah, Dewan Rakyat dijadualkan menyelesaikan perbahasan peringkat jawatankuasa pada 26 November ini, manakala Dewan Negara akan memulakan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 pada 30 November 2026.
Menurutnya, pembubaran Parlimen sebelum proses berkenaan selesai berisiko menyebabkan Rang Undang-undang Perbekalan yang masih dalam proses perundangan luput, sekali gus memerlukan kerajaan dan Parlimen baharu membentangkan serta meluluskan semula belanjawan tersebut.
Sehubungan itu, beliau melihat Parlimen mempunyai tanggungjawab penting untuk meneliti perbelanjaan kerajaan serta memastikan setiap peruntukan wang rakyat diuruskan secara bertanggungjawab.
“Pembubaran awal Parlimen mungkin dibenarkan oleh Perlembagaan, tetapi itu tidak semestinya bermakna masanya sesuai.
“Ada masa untuk berpolitik, ada masa untuk pilihan raya, dan ada masa untuk kita menunaikan amanah serta tanggungjawab kepada negara,” ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Pertahanan dan Keselamatan, Majlis Dewan Negara menegaskan bahawa urusan penting Parlimen, khususnya berkaitan kelulusan Belanjawan 2027, perlu diselesaikan terlebih dahulu demi kepentingan negara dan rakyat.-EDISI UKAS