Jambatan Jalan Ming Tee Dibaik Pulih Demi Keselamatan Pengguna
BINTANGOR: Kerja-kerja pembaikan Jambatan Jalan Ming Tee di sini dijadualkan bermula pada Sabtu susulan kerosakan dan mendapan struktur jambatan akibat arus deras banjir sebelum ini.
Pelaksanaan kerja pembaikan tersebut hasil kelulusan peruntukan oleh Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pergerakan penduduk setempat dan pengguna jalan raya.
Usaha itu turut mencerminkan komitmen MDMJ dalam memastikan kemudahan infrastruktur awam berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan.
Tinjauan ke lokasi jambatan berkenaan turut diadakan pada Jumaat bagi menilai keadaan semasa struktur jambatan serta persediaan sebelum kerja pembaikan dimulakan.
Pelaksanaan kerja pembaikan itu diharap dapat berjalan lancar dan disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan, sekali gus mengurangkan risiko keselamatan kepada pengguna.
Sehubungan itu, orang ramai diminta memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan petugas serta mengutamakan keselamatan sepanjang tempoh kerja pembaikan dijalankan. -EDISI UKAS