Masyarakat Perlu Kuasai Teknologi, Waspada Ancaman Jenayah Siber
KUCHING: Masyarakat perlu meningkatkan penguasaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) serta memperkukuh kesedaran keselamatan siber bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian dan penyalahgunaan teknologi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, perkembangan teknologi yang semakin pesat menuntut masyarakat bukan sekadar menjadi pengguna, sebaliknya perlu memahami, menguasai dan memanfaatkannya secara bijak serta beretika.
Menurut beliau, penyalahgunaan AI untuk memanipulasi imej dan suara seseorang boleh mencetuskan fitnah, menjejaskan hubungan kekeluargaan serta menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Teknologi AI membolehkan video di olah menggunakan wajah dan suara kita walaupun individu berkenaan bukan kita. Penyalahgunaan teknologi ini boleh menjejaskan institusi kekeluargaan melalui penyebaran fitnah serta mencetuskan perpecahan dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Semarak Seni Jawa (SEJIWA) @ Pesta Ambeng 2.0 di Dewan Serbaguna TASUDA, Kampung Kolong 2, pada Khamis.
Sehubungan itu, Datuk Amar Fadillah menggalakkan masyarakat memperbanyakkan kandungan positif berkaitan perpaduan, keharmonian dan semangat saling menghormati di media sosial bagi memastikan ruang digital dimanfaatkan untuk membina hubungan baik antara kaum dan agama.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan bergaji lumayan yang tidak sepadan dengan kelayakan dan pengalaman, khususnya peluang pekerjaan di luar negara yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan.
Penahanan 130 rakyat Malaysia oleh pihak berkuasa Pakistan di Rawalpindi pada 13 Oktober lalu berhubung dakwaan penglibatan dalam sindiket jenayah siber perlu dijadikan iktibar kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan.
“Sekiranya terdapat tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan yang tidak bersesuaian dengan kelayakan kita, jangan mudah mempercayainya. Sebaliknya, siasat terlebih dahulu kesahihan tawaran tersebut,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menjaga keselamatan telefon bimbit dan akaun digital masing-masing, termasuk tidak sewenang-wenangnya membuka pautan atau lampiran daripada nombor tidak dikenali serta berkongsi kata laluan dan kod pengesahan dengan pihak lain.
Beliau turut menggesa pemimpin masyarakat dan pertubuhan setempat supaya menganjurkan program pendidikan serta kesedaran teknologi dengan membawa pakar berkaitan ke kampung-kampung.
Usaha itu penting bagi memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai penggunaan AI secara beretika, cara mengenal pasti berita palsu dan kandungan manipulasi, taktik penipuan dalam talian serta langkah melindungi telefon bimbit, akaun dan maklumat peribadi.- EDISI UKAS