Sukan, Pendidikan & Sokongan Keluarga Asas Pembentukan Generasi Berjaya
ASAJAYA: Keseimbangan antara pencapaian akademik, penglibatan dalam aktiviti sukan serta sokongan berterusan daripada ibu bapa dan pihak sekolah merupakan asas penting dalam melahirkan generasi muda yang berdisiplin, berdaya saing dan berkeperibadian tinggi.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembangunan potensi murid tidak seharusnya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan penglibatan dalam aktiviti sukan dan kokurikulum.
Menurut beliau, aktiviti sukan bukan sahaja memberikan manfaat kepada kesihatan fizikal, malah membantu membentuk disiplin diri, kemahiran pengurusan masa serta semangat berpasukan dalam kalangan murid.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Temasya Sukan Tahunan Kali Ke-37 Sekolah Kebangsaan (SK) Rebak 2026 di Padang SK Rebak, Asajaya pada Sabtu.
Katanya, kecemerlangan dalam bidang sukan dan akademik boleh bergerak seiring menerusi penerapan disiplin, pengurusan masa yang baik serta komitmen dalam mencapai matlamat.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim turut menekankan kepentingan aktiviti sukan dan kokurikulum dalam membina kemahiran interaksi sosial, khususnya ketika generasi muda semakin terdedah kepada penggunaan peranti digital.
Menurut beliau, komunikasi secara bersemuka perlu terus dipupuk sejak peringkat awal bagi mengelakkan kebergantungan berlebihan kepada teknologi dalam kehidupan seharian.
Turut hadir, Guru Besar SK Rebak, Haryanti Harun, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Rebak, Abdullah Mohd Madian dan Penghulu Kampung Rebak, Oton Bujang.-EDISI UKAS