Program Ziarah Rumah Ibadah Perkukuh Keharmonian Masyarakat
MATU: Program Ziarah Masjid, Surau dan Rumah Ibadah anjuran Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jemoreng menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim serta memupuk keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Daerah Matu.
Program tersebut diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr. Juanda Jaya yang turut menyantuni masyarakat menerusi kunjungan ke beberapa rumah ibadah pada Jumaat.
Beliau berkata, pendekatan turun padang menerusi kunjungan ke rumah ibadah memberi ruang untuk mendekati masyarakat, beramah mesra serta mengeratkan hubungan tanpa mengira kaum dan pegangan agama.
Ziarah dimulakan dengan menunaikan solat Jumaat di Masjid Kuala Matu sebelum beliau mengunjungi Tua Pek Kong di Pasar Lama Matu yang disambut mesra oleh masyarakat setempat.
Kunjungan diteruskan ke Masjid Kampung Sekaan Besar bagi menunaikan solat Maghrib berjemaah serta beramah mesra dengan para jemaah dan penduduk setempat.
Program seumpama itu mencerminkan komitmen berterusan dalam memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama, selaras dengan aspirasi Sarawak untuk mengekalkan perpaduan serta semangat saling menghormati.- EDISI UKAS