MATU: Penganjuran Karnival Sukaneka Daerah Matu 2026 menjadi platform untuk memperkukuh perpaduan dan mengeratkan hubungan silaturahim masyarakat setempat menerusi penglibatan dalam aktiviti sukan, rekreasi dan warisan komuniti.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, kepelbagaian aktiviti yang disediakan memberi peluang kepada masyarakat daripada pelbagai peringkat umur untuk bersama-sama menyertai program berkenaan.
Menurut beliau, acara seperti futsal, bola sepak, badminton, sepak takraw, petanque dan memanah bukan sahaja membuka ruang kepada penduduk mengetengahkan bakat masing-masing, malah memupuk semangat kekitaan dalam komuniti.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Karnival Sukaneka Daerah Matu 2026 di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD), pada Jumaat.
Selain acara sukan, karnival itu turut mengetengahkan aktiviti kekeluargaan dan warisan masyarakat termasuk pertandingan anyaman, mewarna, memasak, demonstrasi membuat cili dan sekiu serta pertandingan tupek sei.
Datuk Dr. Juanda berharap penganjuran karnival itu dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang dinanti-nantikan masyarakat Daerah Matu.
Beliau turut mengingatkan peserta supaya sentiasa mengamalkan semangat kesukanan, bertanding secara sihat dan saling menghormati.
Karnival yang bermula pada Jumaat itu menyaksikan sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat menerusi acara sukaneka yang diadakan di Padang MDMD.
Turut hadir Pegawai Daerah Matu, Hamidah Halpi.- EDISI UKAS