KOTA SAMARAHAN: Penduduk luar bandar di Kota Samarahan digalak merebut peluang ekonomi menerusi pengusahaan inap desa dengan mengetengahkan keunikan makanan tradisional, kraf tangan, adat resam dan warisan kampung sebagai tarikan pelancongan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, pembangunan Samarahan sebagai Kota Ilmu serta peningkatan kemudahan perhubungan menerusi projek Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) yang bakal menghubungkan Samarahan dengan Kuching berpotensi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.
Menurut beliau, potensi peningkatan jumlah pengunjung ke Samarahan perlu dimanfaatkan penduduk kampung dengan menawarkan pengalaman berasaskan identiti tempatan, sekali gus memastikan manfaat ekonomi daripada sektor pelancongan turut dinikmati masyarakat luar bandar.
“Biarlah tetamu pulang mengingati layanan orang Samarahan. Biarlah hasil kunjungan mereka turut dinikmati oleh keluarga yang menghidangkan makanan, menjaga warisan dan menerima tetamu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Keceriaan Rumah Sempurna Peringkat Parlimen Kota Samarahan Tahun 2026 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Dewan Serbaguna Kampung Empila Hilir pada Sabtu.
Datuk Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata, kursus berkenaan menggariskan empat objektif utama meliputi penjanaan pendapatan komuniti, penjagaan kebersihan persekitaran, pemeliharaan warisan tempatan serta peningkatan kemahiran pengurusan inap desa dan layanan tetamu.
Menurut beliau, penglibatan generasi muda dalam memelihara warisan kampung termasuk seni silat, tarian, rumah tradisional dan resipi makanan warisan juga penting bagi memastikan khazanah tersebut terus dilestarikan.
Beliau turut berkongsi mengenai lawatan peserta anjuran Institut Kemajuan Desa (INFRA) ke beberapa inap desa di Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Selangor pada Julai lalu bagi memberikan pendedahan mengenai amalan terbaik pengurusan inap desa.
Dalam pada itu, Datuk Rubiah menegaskan aspek kebersihan, keselesaan dan keselamatan keluarga perlu diberi keutamaan sebelum sesebuah kediaman dibuka kepada pengunjung.
Katanya, kejayaan kursus tersebut bukan sekadar diukur berdasarkan penyertaan, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi perubahan positif dalam komuniti.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak dan Pegawai KEMAS Bahagian Samarahan, Muhammad Asyraf Md Nor. -EDISI UKAS