UTS Terima Tiga Kenderaan EV Perkukuh Latihan Teknologi Mobiliti Elektrik
SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) bakal menerima tiga unit kenderaan elektrik (EV), termasuk sebuah BYD Sealion 7 menerusi kerjasama dengan SKMG Asia Technology Sdn. Bhd. bagi memperkukuh pembangunan kemahiran dan latihan teknikal dalam bidang mobiliti elektrik.
Naib Canselor UTS, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohammad Shahril Osman berkata, penyerahan ketiga-tiga kenderaan itu akan dilaksanakan secara berperingkat bagi menyokong pembangunan program latihan khusus berkaitan teknologi EV.
Beliau berkata demikian pada Jumaat selepas pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara UTS dengan SKMG Asia Technology Sdn. Bhd. yang menyaksikan kerjasama dalam pembangunan latihan teknologi baharu dan kemahiran teknikal selaras dengan keperluan industri.
Menurut beliau, kerjasama itu turut membuka peluang kepada perkongsian ilmu, pembangunan kepakaran teknikal, latihan profesional serta pertukaran pengalaman industri antara kedua-dua organisasi.
Program latihan berkenaan akan dilaksanakan menerusi Pusat Pendidikan Berterusan dan Pembangunan Profesional (CEPD) UTS dengan menyasarkan pelajar, kakitangan industri, golongan profesional serta masyarakat umum.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SKMG Asia Technology Sdn. Bhd., Ts. Rosdin Abdul Kahar berkata, kerjasama strategik itu turut melibatkan BYD dalam usaha membangunkan tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan sektor mobiliti elektrik.
Beliau berkata, gabungan kepakaran teknologi EV oleh BYD, kepakaran akademik UTS serta pengalaman industri SKMG akan menyokong pelaksanaan latihan berkaitan sistem kenderaan elektrik, teknologi bateri, infrastruktur pengecasan dan keselamatan elektrik.
Kerjasama itu juga dijangka membuka lebih banyak peluang latihan dan pembangunan kerjaya kepada pelajar, juruteknik, jurutera serta golongan profesional yang ingin menceburi industri berkenaan.
Turut hadir Pengarah Pusat Pendidikan Berterusan dan Pembangunan Profesional UTS Safrina Zainal Abidin, Pengurus Pembangunan Perniagaan SKMG Asia Technology Sdn. Bhd. Syahril Nizam Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTS Profesor Dr. Mohd Zainal Munshi Harun serta Penasihat Jualan BYD Sarawak Ho Kui Ping.- EDISI UKAS