Program CSR Zon 5 Titiakar Perkukuh Perpaduan 10 Kampung
LUNDU: Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Zon 5 Titiakar yang menghimpunkan seramai 200 penduduk daripada 10 kampung menjadi platform dalam memperkukuh perpaduan, hubungan silaturahim dan kerjasama komuniti setempat.
Pengerusi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Opar, Billy Sujang berkata, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat untuk berkumpul dan berinteraksi, malah memupuk semangat muafakat dalam menjayakan pembangunan kampung.
Menurut beliau, komitmen dan kerjasama berterusan dalam kalangan pemimpin masyarakat serta penduduk merupakan asas penting dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti luar bandar.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Program CSR Zon 5 Titiakar di Kampung Bagak pada Sabtu.
Dalam pada itu, Billy turut menekankan kepentingan penyediaan kemudahan infrastruktur oleh Kerajaan Sarawak termasuk dewan serbaguna yang berperanan sebagai pusat penganjuran aktiviti sosial, kebudayaan dan kemasyarakatan.
Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat terus memberikan kerjasama dalam menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan demi kemajuan dan kesejahteraan bersama.-EDISI UKAS