ASAJAYA: Rakyat Sarawak diseru menggunakan hak mengundi dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan dalam memilih wakil rakyat bagi memastikan proses demokrasi serta pembentukan kerajaan negeri berjalan dengan baik.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato
Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setiap pengundi perlu membuat penilaian secara rasional dengan mengambil kira latar belakang parti politik, calon yang bertanding serta keupayaan mereka sebelum menentukan pilihan.
Menurut beliau, keputusan memilih pemimpin tidak seharusnya dipengaruhi emosi, sentimen atau faktor pemberian tertentu oleh calon yang bertanding, sebaliknya perlu dibuat berdasarkan pertimbangan matang dan penilaian mendalam.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Temasya Sukan Tahunan Kali Ke-37 Sekolah Kebangsaan (SK) Rebak 2026 yang berlangsung di Padang SK Rebak, Asajaya, pada Sabtu.
Katanya, masyarakat bakal melalui proses pemilihan wakil rakyat dan pembentukan kerajaan negeri, justeru setiap warga negara perlu memahami kepentingan melaksanakan tanggungjawab demokrasi dengan sebaik-baiknya.
Beliau turut mengingatkan pengundi supaya tidak mudah terpengaruh dengan pendekatan atau tawaran calon yang bertanding, sebaliknya menggunakan akal fikiran dan kebijaksanaan dalam menilai setiap calon serta parti politik.
Menurutnya, hak mengundi merupakan amanah dan hak setiap rakyat yang perlu digunakan dengan penuh kesedaran demi menentukan hala tuju kepimpinan serta masa depan negeri.
Beliau berharap masyarakat dapat memainkan peranan masing-masing dalam memastikan proses demokrasi di Sarawak dan Malaysia berlangsung dengan baik, matang serta bertanggungjawab.-EDISI UKAS