Sri Aman Heritage Fun Run 2026 Perkukuh Promosi Warisan Dan Pelancongan Sri Aman
SRI AMAN: Penganjuran Sri Aman Heritage Fun Run 2026 dilihat sebagai platform penting dalam mempromosikan warisan sejarah, keunikan budaya dan potensi pelancongan Bahagian Sri Aman, di samping menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, berkata pemilihan tema ‘Heritage’ amat bertepatan dalam mengetengahkan identiti Bandar Simanggang dan Bahagian Sri Aman sebagai sebuah kawasan yang kaya dengan nilai sejarah.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Majlis Daerah Sri Aman, Mohd Rizal Zakaria, semasa majlis perasmian program tersebut pada Sabtu.
Menurut beliau, Sri Aman turut memiliki keistimewaan tersendiri menerusi fenomena Benak yang terkenal di peringkat antarabangsa dan berpotensi terus diketengahkan sebagai salah satu tarikan pelancongan utama negeri ini.
Katanya, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja memperkenalkan warisan tempatan kepada penduduk dan pengunjung, malah membuka peluang untuk memperkembangkan sektor ekopelancongan serta pelancongan warisan di Sarawak.
Datuk Amar Profesor Dr. Sim turut menyifatkan penyertaan dalam aktiviti larian sebagai satu usaha menggalakkan penjagaan kesihatan jangka panjang melalui amalan gaya hidup aktif yang menyumbang kepada kecergasan fizikal dan mental.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kesihatan merupakan antara elemen penting dalam membentuk modal insan yang produktif dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak untuk mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi.
Sehubungan itu, beliau berharap Sri Aman Heritage Fun Run dapat diteruskan sebagai acara tahunan dalam kalendar pelancongan dan sukan Bahagian Sri Aman, sekali gus menjadi platform berterusan untuk mempromosikan keistimewaan daerah ini kepada masyarakat luar.-EDISI UKAS