Kerjasama Sekolah, Alumni Pemangkin Kecemerlangan Generasi Masa Depan
LUNDU: Kerjasama strategik antara pihak sekolah, alumni dan komuniti setempat perlu terus diperkukuh bagi melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berkeperibadian tinggi.
Ahli Lembaga Amanah Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Billy Sujang berkata, kecemerlangan sesebuah institusi pendidikan bukan sahaja diukur berdasarkan pencapaian akademik, malah turut bergantung kepada keupayaannya melahirkan modal insan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Menurut beliau, golongan alumni memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan sekolah menerusi perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran, selain membuka peluang baharu kepada pelajar.
“Alumni mempunyai pengalaman dan kepakaran yang boleh dimanfaatkan, manakala pihak sekolah pula merupakan tempat terbaik untuk membangunkan potensi generasi baharu.
“Apabila kedua-duanya bergerak seiring, banyak peluang dan manfaat dapat diwujudkan untuk para pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Aliran Perdana Tahun 2026 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu di CENTEXS Lundu pada Sabtu.
Billy yang juga Penaung Alumni SMK Lundu berkata, perkembangan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan persaingan dalam dunia pekerjaan menuntut generasi muda melengkapkan diri dengan kemahiran yang lebih menyeluruh.
Jelasnya, pelajar perlu memiliki keupayaan berfikir secara kritis, kebijaksanaan membuat keputusan serta kebolehan menyesuaikan diri dengan perubahan bagi menghadapi cabaran masa depan.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru pelajar agar tidak melupakan asal usul dan sentiasa bersedia untuk kembali menyumbang kepada sekolah serta masyarakat apabila berjaya dalam bidang masing-masing kelak.
“Kejayaan yang paling bermakna bukan hanya apabila kita berjaya membina kehidupan sendiri, tetapi apabila kita turut berupaya membuka peluang dan membantu orang lain untuk berjaya,” ujarnya.
Beliau turut berharap lebih ramai alumni SMK Lundu tampil sebagai pemimpin, profesional dan usahawan yang mampu memberikan sumbangan bermakna kepada pembangunan daerah Lundu, Sarawak serta negara.
Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah Lundu, Dr Majelan Sulong, Pengetua SMK Lundu, Mohd Azizan Madihi dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Lundu, Sapawi Zen. –EDISI UKAS