Persatuan Kaum Perlu Perluas Peranan, Perkasa Pendidikan dan Kepimpinan Generasi Muda
MIRI: Persatuan kaum di Sarawak perlu memperluas peranan sebagai institusi pembangunan masyarakat dengan memberi penekanan kepada pendidikan, kebajikan dan pembentukan kepimpinan generasi muda, selain memelihara warisan budaya serta tradisi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, persatuan tidak seharusnya hanya berfungsi sebagai tempat pertemuan dan penganjuran aktiviti sosial, sebaliknya perlu menjadi wadah yang menyumbang secara langsung kepada kemajuan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Kedua Persatuan Sim Miri di Jalan Lee Teck, pada Sabtu.
Menurut beliau, penglibatan generasi muda amat penting bagi memastikan nilai kekeluargaan, perpaduan, sikap saling membantu dan tanggungjawab terhadap masyarakat terus diwarisi.
Dalam aspek pendidikan, beliau mengiktiraf sumbangan generasi terdahulu dalam mempertahankan dan membangunkan pendidikan Cina, selain menekankan kepentingan sokongan berterusan terhadap sekolah-sekolah Cina serta institusi pendidikan aliran lain.
Katanya, pendidikan bukan sahaja menyediakan ilmu pengetahuan dan penguasaan bahasa, malah berperanan membentuk nilai, kepimpinan serta semangat tanggungjawab terhadap masyarakat dan negeri.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan Persatuan Sim Miri memanfaatkan bangunan kedua tersebut sebagai pusat aktiviti kebudayaan, pendidikan, kebajikan, jaringan perniagaan dan pembangunan kepimpinan generasi muda.
Beliau turut berharap lebih ramai golongan muda serta anggota sayap wanita melibatkan diri secara aktif dalam persatuan dengan membawa idea baharu dan memanfaatkan teknologi digital bagi memastikan kesinambungan usaha generasi terdahulu.
Mengulas perkembangan persatuan, beliau berkata kejayaan memperoleh premis kedua pada 2023 merupakan hasil usaha berterusan kepimpinan terdahulu dan semasa, ahli jawatankuasa, penyumbang serta seluruh anggota persatuan.
Dengan keanggotaan kira-kira 320 orang, pencapaian itu mencerminkan semangat kerjasama dan kebersamaan yang membolehkan persatuan terus berkembang serta menyesuaikan peranannya dengan perubahan zaman.
Beliau menegaskan kejayaan sesebuah persatuan tidak seharusnya dinilai berdasarkan saiz atau nilai bangunan yang dimiliki, sebaliknya melalui sumbangan dan impak positif kepada ahli serta masyarakat keseluruhannya.
Menurutnya, kekuatan masyarakat berbilang kaum yang hidup dalam suasana harmoni, saling menghormati dan bekerjasama merupakan asas penting dalam menyokong aspirasi Sarawak yang lebih maju, stabil dan makmur menjelang 2030.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew serta Pengerusi Persatuan Sim Miri, Sim Soon Tian.-EDISI UKAS