SMK St Anthony Catat GPS 2.69 Dalam SPM 2025, Pencapaian Terbaik Sekolah
SARIKEI: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Anthony Sarikei mencatat pencapaian terbaik dalam sejarah sekolah apabila merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.69 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen dan usaha berterusan seluruh warga sekolah termasuk pentadbir, guru, murid serta ibu bapa dalam meningkatkan kecemerlangan akademik.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Ke-12 SMK St Anthony Sarikei di dewan sekolah berkenaan, pada Sabtu.
Menurutnya, pencapaian konsisten sekolah itu wajar diberikan penghargaan, khususnya kepada barisan pendidik yang terus komited memastikan kejayaan pelajar dari tahun ke tahun.
Dato Sri Huang berkata, kecemerlangan pelajar perlu merangkumi pelbagai aspek bukan sahaja akademik, malah sahsiah, kemahiran dan keyakinan diri bagi melahirkan generasi muda yang berdaya saing.
Sehubungan itu, beliau menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan pembangunan pendidikan di Sarikei, termasuk penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan sekolah bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa serta kondusif.
Beliau turut memaklumkan sumbangan beg sekolah kepada pelajar di Sarikei pada bulan lalu sebagai sebahagian daripada usaha memastikan setiap anak mendapat peluang pendidikan yang adil dan saksama.
Dalam pada itu, Dato Sri Huang merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan dan wawasan dalam memperkukuh pembangunan pendidikan serta menyediakan lebih banyak peluang kepada generasi muda.
Menurutnya, pelaksanaan dasar pendidikan tinggi percuma untuk anak Sarawak dan peluasan peluang biasiswa profesional merupakan antara inisiatif penting dalam membangunkan bakat tempatan serta melahirkan generasi pemimpin masa depan.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei Nguang Seng, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Rev. Fr. Simon Lau Seng Wuu, Pengetua Cemerlang SMK St Anthony Liong Shou Chuan, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta Persatuan Bekas Pelajar sekolah berkenaan.- EDISI UKAS