Timbalan Premier Berpatah Balik Dari Lachau, Santuni 28 Keluarga Mangsa Kebakaran
SPAOH: Keprihatinan terhadap nasib 28 keluarga mangsa kebakaran Rumah Panjang Matop, Paku, Spaoh mendorong Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang dalam perjalanan menuju ke Kuching untuk berpatah balik dari Lachau bagi meninjau sendiri lokasi kejadian pada Sabtu.
Beliau bergegas ke lokasi sebaik menerima makluman mengenai kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira jam 5 petang itu bagi menyantuni mangsa serta memastikan keperluan bantuan segera diberikan perhatian.
Dalam tinjauan tersebut, Datuk Amar Douglas Uggah turut mendapatkan perkembangan terkini operasi pemadaman kebakaran serta menilai tahap kemusnahan rumah panjang melibatkan 28 pintu itu.
Beliau turut meluangkan masa bertemu mangsa bagi memberikan sokongan moral dan menzahirkan keprihatinan terhadap nasib keluarga yang kehilangan tempat tinggal.
Selain itu, beliau turut meneliti keperluan penyelarasan bantuan segera menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Betong dan Pejabat Residen Bahagian Betong.
Turut menyertai tinjauan itu ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu dan Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.
Sementara itu, Pegawai Daerah Betong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Betong, Laga Kueh berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Menurut beliau, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tidak diaktifkan buat masa ini memandangkan kesemua 28 keluarga terjejas akan menumpang sementara di kediaman ahli keluarga dan saudara-mara di rumah panjang berhampiran.
Penyelarasan turut dilaksanakan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dan Saratok, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Betong serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kelancaran operasi pemadaman dan keselamatan di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, JKM Bahagian Betong akan menguruskan pendaftaran ketua isi rumah (KIR) bagi membolehkan bantuan kecemasan termasuk makanan, minuman dan keperluan asas disalurkan kepada mangsa.
Setakat jam 8.30 malam, operasi pemadaman masih diteruskan dan api belum berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Penilaian lanjut serta penyelarasan bantuan bagi pembinaan semula rumah panjang berkenaan akan dipertimbangkan selepas laporan lengkap pihak bomba dan bancian mangsa diperoleh.
Turut hadir, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Spaoh, Denny Lim, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong, Abang Ahmad Ibrahim dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong.-EDISI UKAS