PAWE Bukit Saban Diseru Jadi Contoh Terbaik Di Sarawak
SPAOH: Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Bukit Saban diseru menjadi contoh terbaik di Sarawak dalam menyediakan platform aktiviti komuniti yang aktif, sihat dan inklusif bagi meningkatkan kesejahteraan golongan warga emas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penubuhan PAWE mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan warga emas terus diberi perhatian seiring pembangunan pesat negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Warga Emas (SHWE) dan PAWE Peringkat DUN Bukit Saban di Dewan Masyarakat Spaoh, pada Jumaat.
Menurut beliau, pembangunan di kawasan Bukit Saban dan Betong sebelum ini banyak tertumpu kepada infrastruktur, pendidikan dan ekonomi, namun kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan sosial serta kebajikan masyarakat.
Katanya, transformasi kawasan berkenaan menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) telah menyaksikan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan termasuk rangkaian jalan raya, jambatan, pertanian dan sosioekonomi.
Sehubungan itu, beliau bersama Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu akan terus berusaha menyediakan kemudahan dan peralatan tambahan di PAWE Bukit Saban, termasuk kerusi urut, alat pengukur paras gula dalam darah serta monitor tekanan darah digital.
Beliau menegaskan PAWE bukan sekadar tempat berkumpul, sebaliknya berperanan sebagai platform untuk warga emas berinteraksi, berkongsi pandangan serta menyertai aktiviti kesihatan dan riadah bagi memastikan mereka kekal aktif dalam komuniti.
Datuk Amar Douglas turut menggalakkan warga emas mempelajari penggunaan teknologi semasa, khususnya pembayaran menggunakan kod QR serta aplikasi SarawakPass yang menyediakan akses kepada lebih 200 perkhidmatan dalam talian Kerajaan Sarawak melalui satu akaun.
Sementara itu, Dato Dr. Richard berkata, sambutan Hari Warga Emas yang diraikan setiap Oktober merupakan manifestasi penghargaan kepada generasi terdahulu atas pengorbanan dan sumbangan mereka dalam membangunkan keluarga serta masyarakat.
Selaras dengan tema kebangsaan ‘Warga Emas Disayangi, Negara Harmoni’, beliau menegaskan golongan berkenaan perlu terus dihormati, disayangi dan diberi ruang untuk menyumbang buah fikiran dalam pembangunan komuniti.
Beliau turut menekankan kepentingan inisiatif kerajaan Sarawak seperti Kenyalang Gold Card (KGC) yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan bantuan ihsan kematian, selain Senior Citizens Health Benefit (SCHB) yang menyediakan bantuan rawatan pesakit luar tanpa tunai sehingga RM500 setahun di klinik panel swasta.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan warga emas di kawasan Bukit Saban mendaftar sebagai ahli PAWE dan memanfaatkan kemudahan disediakan melalui penyertaan aktif dalam pelbagai program kesihatan, riadah dan kemasyarakatan.
Turut hadir Wakil Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Wan Muhammad Hasif, Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas, Pegawai Daerah Betong Laga Kueh, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Mapong dan Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Spaoh Denny Lim.- EDISI UKAS