Pendidikan Bentuk Generasi Berilmu, Berakhlak dan Bertanggungjawab
SRI AMAN: Pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa depan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki nilai moral, disiplin dan tanggungjawab terhadap masyarakat.
Perkara itu ditekankan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian menerusi teks ucapan yang dibacakan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Kho Teck Wan pada Sambutan Kelahiran Kong Zi (Confucius) dan Majlis Penyampaian Anugerah Pendidikan 2026 di Stadium Lau Ngee Mung, SJK(C) Chung Hua Simanggang, di sini, pada Sabtu.
Beliau turut menekankan kepentingan penghayatan nilai ajaran Konfusius, khususnya dalam menghormati guru, menghargai ibu bapa, mengamalkan sikap saling menghormati serta menjadikan ilmu pengetahuan sebagai asas kehidupan.
Selain itu, menurutnya, perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan yang membuka peluang baharu dalam bidang pendidikan.
Majlis berkenaan turut menjadi platform menghargai sumbangan warga pendidik serta mengiktiraf pencapaian cemerlang pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bahagian Sri Aman-Betong.
Antara pengiktirafan yang disampaikan ialah
Anugerah Tokoh Guru SJK(C) Bahagian Sri Aman-Betong Tahun 2026, Anugerah Murid Contoh SJK(C) Tahun 2026, Anugerah Kecemerlangan Subjek Bahasa Cina dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Guru SJK(C) Tahun 2025.
Turut disampaikan ialah Anugerah Pencapaian Khas Guru Tahun 2026 serta plak dan jambangan bunga kepada guru-guru bersara sebagai tanda penghargaan atas jasa dan khidmat bakti mereka dalam bidang pendidikan.-EDISI UKAS