Program Komuniti Alam Lestari Perkukuh Kesedaran Kebersihan, Kesihatan Masyarakat
BETONG: Program Komuniti Alam Lestari, Komuniti Bestari anjuran Majlis Daerah Betong (MDB) menjadi platform penting dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar, kesihatan awam dan kesejahteraan komuniti.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, konsep Komuniti Alam Lestari, Komuniti Bestari membawa maksud persekitaran yang bersih dan masyarakat yang menikmati kehidupan sihat serta sejahtera.
Menurut beliau, program berkenaan memberi banyak manfaat khususnya kepada penduduk Rumah Panjang Penyulok dan rumah panjang di kawasan sekitarnya, selain menjadi medium kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan masyarakat untuk berkongsi pandangan serta mencari pendekatan terbaik dalam memastikan kebersihan kawasan kediaman sentiasa terpelihara.
Beliau turut mengingatkan masyarakat bahawa ancaman kesihatan kini semakin pelbagai, termasuk penyakit bawaan haiwan seperti denggi, kencing tikus serta rabies yang berpunca daripada anjing liar.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Komuniti Alam Lestari, Komuniti Bestari di Rumah Panjang Penyulok, di sini, pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau menyeru MDB supaya menjalin kerjasama strategik dengan masyarakat setempat bagi melaksanakan program vaksinasi secara lebih meluas dan berkala demi melindungi kesihatan serta keselamatan penduduk.
Beliau turut menggalakkan masyarakat supaya lebih inovatif dalam memanfaatkan sisa buangan yang berpotensi untuk dikitar semula sebagai sumber pendapatan sampingan, sekali gus memupuk amalan pengurusan sisa yang lebih lestari.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu berkata, program berkenaan meletakkan kesejahteraan masyarakat, kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar sebagai komponen penting yang perlu diberikan keutamaan.
Beliau yang juga Pengerusi MDB turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada jawatankuasa pengelola yang diketuai Setiausaha Majlis Daerah Betong, Llster Clement Guwie, bersama JKKK dan Biro Wanita Rumah Panjang Penyulok atas kejayaan menganjurkan program yang memberi impak positif kepada masyarakat.
Dato Dr. Richard berharap program seumpama itu dapat diperluaskan ke rumah panjang lain di kawasan Betong bagi memastikan lebih ramai penduduk mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan.
Menurutnya, program itu bukan sekadar aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan rumah panjang, malah turut menyemai kesedaran tentang pentingnya mengekalkan persekitaran yang bersih sebagai sebahagian daripada amalan kehidupan seharian.
Beliau turut mengingatkan masyarakat agar sentiasa bersyukur dan bertanggungjawab memelihara kekayaan alam semula jadi kerana persekitaran yang bersih mencerminkan imej serta keprihatinan sesebuah komuniti.
Tambahnya, tanggungjawab menjaga kebersihan alam sekitar tidak seharusnya diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif seluruh lapisan masyarakat.
Menurut Tuai Rumah Panjang Penyulok, Kelimbang Jaman, program selama dua hari bermula 13 November itu turut diisi dengan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar rumah panjang dan sungai bersama penduduk setempat.
Turut hadir Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Setiausaha Majlis Daerah Betong, Llster Clement Guwie, Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh serta Tuai Rumah Panjang Penyulok, Kelimbang Jaman. - EDISI UKAS