Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak Buka Laluan Anak Tempatan Ke Menara Gading
SELANGAU: Inisiatif Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) Kerajaan Sarawak membuka peluang kepada anak tempatan yang layak melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri tanpa dibebani kos pengajian.
Ahli Dewan Negara, Senator Michael Mujah Lihan berkata, inisiatif di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg itu merupakan peluang penting yang perlu dimanfaatkan generasi muda untuk meningkatkan tahap pendidikan dan mempersiapkan diri menghadapi keperluan ekonomi masa depan.
“Komunikasi yang baik dan kerjasama yang padu dengan guru-guru akan memastikan anak-anak kita terus berada di landasan yang betul.
“Zaman sekarang bukan lagi zaman bertani secara tradisional semata-mata, sebaliknya zaman teknologi yang menuntut modal insan berilmu tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Sukan dan Malam Mesra Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Sungai Arip di Selangau, pada Sabtu.
Menurut Senator Michael, usaha melahirkan generasi berpendidikan tinggi perlu bermula sejak peringkat sekolah rendah melalui kesungguhan murid dalam pembelajaran serta sokongan berterusan daripada ibu bapa dan guru.
Beliau menegaskan kerjasama erat antara ibu bapa dan guru penting bagi memastikan perkembangan pendidikan anak-anak sentiasa diberi perhatian, selain membimbing mereka supaya kekal fokus terhadap pembelajaran.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa dan guru supaya memastikan murid belajar bersungguh-sungguh sejak peringkat awal persekolahan bagi membina asas ilmu dan kemahiran untuk menghadapi cabaran masa
depan.-EDISI UKAS