Karnival Kesihatan Bintawa 2026 Perkukuh Kesedaran Pengesanan Awal Penyakit
KUCHING: Masyarakat diseru menjadikan pemeriksaan kesihatan secara berkala sebagai amalan bagi membolehkan pengesanan awal penyakit dilakukan sekali gus mengurangkan risiko komplikasi kesihatan yang lebih serius.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pemeriksaan kesihatan penting dalam mengenal pasti risiko penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan gout yang turut dikesan dalam kalangan golongan muda berikutan perubahan gaya hidup dan corak pemakanan.
“Lebih baik kita tahu keadaan kesihatan kita daripada kita tidak tahu. Sekiranya ada tanda-tanda awal penyakit, kita boleh mendapatkan nasihat doktor dan mengambil langkah untuk mengawal pemakanan serta gaya hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Karnival Kesihatan Bintawa 2026 di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Bintawa, di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, meskipun KKIA Bintawa memberi tumpuan kepada perkhidmatan kesihatan ibu dan anak, kemudahan tersebut turut berpotensi dimanfaatkan bagi menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan asas kepada masyarakat secara lebih menyeluruh.
Dalam pada itu, penganjuran karnival berkenaan membuka peluang kepada penduduk setempat mendapatkan pelbagai perkhidmatan termasuk pemeriksaan kesihatan asas, saringan penyakit tidak berjangkit, pemeriksaan pergigian serta perkhidmatan kesihatan wanita, ibu dan anak.
Datuk Dr Abdul Rahman turut berharap agar program seumpama itu dapat dilaksanakan secara berkala bagi memperluas akses masyarakat setempat kepada perkhidmatan dan maklumat kesihatan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) serta semua agensi dan petugas yang terlibat dalam menjayakan karnival tersebut.
Turut hadir, Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching Dr Johnny Pangkas, Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Tanah Putih merangkap Ketua Penyelaras Karnival Kesihatan Bintawa 2026 Dr Peter Jerampang, Pegawai Perubatan KKIA Bintawa Dr Amelia Mazwa Rafidah serta barisan ketua masyarakat dan ketua kaum setempat. – EDISI UKAS