Pembangunan Senadin, Kuala Baram Terus Diperkasa, Perumahan Mampu Milik Diberi Tumpuan
MIRI: Pembangunan di Senadin dan Kuala Baram terus diberi perhatian menerusi usaha memperluas penyediaan kemudahan asas serta perumahan mampu milik bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, Senadin yang dahulunya terdiri daripada kawasan hutan dan tanah gambut kini berkembang dengan pembangunan kawasan kediaman, pusat komersial serta institusi pendidikan.
“Sekarang pun kita masih berusaha untuk membina banyak lagi rumah-rumah mampu milik sehingga ke Kuala Baram,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai bagi Kampung Batu Satu, Miri, pada Sabtu.
Menurut Dato Sri Lee, usaha menyediakan lebih banyak rumah mampu milik turut diteruskan sehingga ke Kuala Baram bagi memenuhi keperluan perumahan penduduk.
Katanya, perubahan pembangunan turut dirasai kampung-kampung sekitar yang kini menikmati kemudahan seperti bekalan air, elektrik, jalan raya, rumah ibadat dan dewan serba guna.
Sehubungan itu, beliau menghargai sokongan serta kerjasama masyarakat dalam menjayakan pembangunan yang membawa manfaat kepada penduduk setempat.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee mengingatkan masyarakat supaya sentiasa menjaga kebersihan sungai, berwaspada terhadap ancaman buaya serta mengutamakan keselamatan ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan.
Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Sarawak Forestry Corporation (SFC) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Batu Satu, Kuala Baram.
Pengisian merangkumi ceramah kesedaran keselamatan dan kebersihan sungai, perkongsian SFC mengenai aspek mengenali, memahami serta memulihara buaya, selain taklimat daripada NREB.
Pada program itu, jaket keselamatan turut disampaikan kepada nelayan untuk kegunaan ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan.-EDISI UKAS