Pemuliharaan Marin Perlu Diintegrasikan Dalam Agenda Pembangunan Ekonomi Sarawak
BINTULU: Pemuliharaan ekosistem marin perlu diintegrasikan dalam agenda pembangunan Sarawak bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri berjalan seiring dengan perlindungan biodiversiti dan kelestarian alam sekitar.
Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR), Datu Abdullah Julaihi berkata, ekosistem marin mempunyai peranan penting dalam menyokong biodiversiti, sumber perikanan serta kelangsungan hidup masyarakat pesisir.
“Pemuliharaan marin perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negeri, bukan sebagai usaha yang terpisah daripada kemajuan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan COREEFS STEM Fair 2026 bertemakan ‘Restoring the Sea’ di Paragon Street Mall, pada Sabtu.
Menurut Datu Abdullah, keseimbangan antara pembangunan dan pemuliharaan memerlukan perancangan rapi, penggunaan ilmu serta teknologi dan kerjasama bersepadu antara kerajaan, sektor industri, institusi pendidikan dan masyarakat.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam melahirkan generasi muda yang mampu memahami cabaran alam sekitar serta menghasilkan penyelesaian melalui kreativiti dan inovasi.
Katanya, ilmu yang diperoleh di sekolah perlu dimanfaatkan untuk menangani cabaran sebenar, termasuk dalam usaha melindungi dan memulihkan ekosistem marin.
Usaha membangunkan modal insan serta memperluas peluang pendidikan itu turut menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam aspek kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Sementara itu, Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation (SFC), Abang Arabi Abang Aimran berkata, projek Coral Reef and Reef Ball for Ecosystem Enhancement and Stewardship (COREEFS) yang dilaksanakan bersama Bintulu Port Authority (BPA) sejak 2023 memberi tumpuan kepada pemuliharaan dan pemulihan ekosistem marin di perairan Bintulu.
Menurutnya, antara pendekatan projek itu termasuk penempatan struktur terumbu tiruan atau ‘reef ball’, pemantauan biodiversiti marin serta program pendidikan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan ekosistem laut.
Pada 2024, sebanyak 300 unit ‘reef ball’ ditempatkan di perairan Balingian-Tatau bagi menyediakan habitat tambahan kepada hidupan marin.
COREEFS STEM Fair 2026 turut menampilkan pertandingan STEM Hackathon, Marine Quiz Challenge dan bengkel robotik, selain pameran interaktif berkaitan terumbu karang, penyu, dugong, mamalia marin dan rumput laut.-EDISI UKAS