DBNA Siburan Terus Perkukuh Perpaduan, Pacu Kemajuan Masyarakat Bidayuh
SIBURAN: Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Cawangan Siburan diseru terus memperkukuh perpaduan masyarakat Bidayuh serta memainkan peranan strategik dalam menyokong kesinambungan agenda pembangunan di kawasan itu dan sekitarnya.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil berkata, komitmen DBNA dalam menyatukan masyarakat Bidayuh menerusi pelbagai program kebudayaan, sosial dan kemasyarakatan telah banyak menyumbang kepada keharmonian serta kemajuan masyarakat setempat.
Menurut beliau, DBNA bukan sahaja berperanan dalam memelihara identiti, adat dan warisan kebudayaan masyarakat Bidayuh, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara masyarakat dengan kepimpinan setempat.
“Peranan DBNA mungkin tidak begitu ketara, namun sumbangannya amat signifikan dalam memastikan kesinambungan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan di setiap kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun DBNA Cawangan Siburan di Dewan Kampung Sinjok, Siburan pada Sabtu.
Datuk Dr Jerip menjelaskan, perpaduan masyarakat Bidayuh merupakan asas penting dalam memastikan pembangunan dapat diteruskan secara tersusun, khususnya melibatkan penyediaan kemudahan infrastruktur, peningkatan ekonomi dan kesejahteraan penduduk luar bandar.
Dalam hubungan ini, beliau turut mengetengahkan komitmen Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam memperluas pembangunan menerusi penubuhan Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
Katanya, penubuhan agensi tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kawasan Bau, Serian, Padawan dan Siburan terus mendapat manfaat menerusi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama erat antara DBNA, pemimpin masyarakat dan kerajaan terus diperkukuh bagi memastikan masyarakat Bidayuh menikmati manfaat pembangunan seiring dengan kemajuan Sarawak.
Turut hadir, Pengerusi DBNA, Datuk Ik Pahon Joyik, Timbalan Setiausaha Bahagian Pengurusan Strategik Badan Berkanun Kementerian Kewangan Malaysia, Dato Dr Stanley Tan, Pegawai Daerah Bau, Ady Nayoi, Pegawai Tadbir mewakili Pegawai Daerah Siburan, George Harisson, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan, Julius Scott Sapong dan Pengerusi DBNA Cawangan Siburan, Austin Jana. -EDISI UKAS