BETONG: Sektor komoditi perlu terus diperkasakan melalui penggunaan teknologi moden, peningkatan produktiviti serta pembangunan industri hiliran bagi memastikan sektor itu kekal berdaya saing dan mampu menjana pendapatan lebih tinggi kepada masyarakat luar bandar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, komoditi utama seperti lada, kelapa sawit, getah dan koko telah lama menjadi antara penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi luar bandar, khususnya dalam meningkatkan pendapatan pekebun kecil serta membantu mengurangkan kadar kemiskinan.
Menurut beliau, pelbagai bantuan termasuk subsidi penanaman semula dan pembangunan tanaman komoditi telah membantu meningkatkan taraf hidup pekebun kecil, sekali gus memperkukuh kuasa beli masyarakat di kawasan luar bandar.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bual Bicara Komoditi 2026 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong, pada Sabtu.
Bagaimanapun, beliau berkata sektor komoditi kini berhadapan cabaran dari segi penglibatan tenaga kerja apabila sebahagian besar pengusahanya terdiri daripada golongan berusia 50 tahun ke atas, manakala minat generasi muda untuk menceburi bidang berkenaan masih perlu dipertingkatkan.
Justeru, beliau menegaskan keperluan memperkenalkan pendekatan baharu yang lebih moden dan menarik, termasuk penggunaan sistem torehan getah automatik bagi meningkatkan kecekapan operasi serta menggalakkan penyertaan golongan belia dalam sektor pertanian komoditi.
Dalam masa sama, produktiviti kelapa sawit di Sarawak yang dianggarkan sekitar 14 tan sehektar perlu terus ditingkatkan menerusi kaedah pengurusan lebih cekap, termasuk penubuhan koperasi dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi membolehkan pekebun kecil memasarkan hasil terus kepada kilang tanpa terlalu bergantung kepada orang tengah.
Selain meningkatkan pengeluaran, beliau turut melihat potensi besar dalam pembangunan industri hiliran bagi komoditi lada, koko, getah dan kayu getah melalui penghasilan produk bernilai tambah untuk pasaran tempatan dan eksport.
Antara peluang yang boleh diterokai termasuk penghasilan coklat Sarawak untuk pasaran eksport, produk makanan haiwan, penggunaan getah dalam teknologi pembinaan jalan raya serta pemprosesan kayu getah untuk industri perabot dan penghasilan tenaga elektrik.
Menurut beliau, pembangunan kawasan industri khas di Betong juga boleh dipertimbangkan sebagai tapak permulaan bagi memperluas aktiviti pemprosesan dan industri hiliran getah, sekali gus membuka peluang ekonomi serta pekerjaan kepada penduduk setempat.
Beliau turut menekankan bahawa sasaran pembangunan Sarawak menjelang 2030 memerlukan penglibatan semua pihak dalam meneroka industri baharu, memanfaatkan teknologi dan memperkukuh sektor ekonomi bagi meningkatkan pendapatan isi rumah median kepada RM15,000 sebulan.
Katanya, peningkatan hasil pendapatan negeri daripada RM6 bilion pada 2016 kepada RM11.5 bilion telah memperluas keupayaan kerajaan melaksanakan pelbagai projek pembangunan, termasuk pembinaan jambatan dan jalan raya serta penyediaan kemudahan pendidikan melalui pemberian biasiswa.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus mengekalkan perpaduan dan kestabilan bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berterusan, khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kesihatan demi kesejahteraan rakyat.
Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Getah Malaysia (LGM) Wilayah Sarawak dan Sabah, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD).
Turut hadir, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Wakil Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Wan Bujang Wan Lela serta Wakil Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia, Azuan Adinan. - EDISI UKAS